My Add

Tuesday 9 July 2013

Harga ayam naik RM1.20 sekilogram di ibu negara

KUALA LUMPUR, ISNIN, 08 Julai, 2013: Di sebalik jaminan kerajaan harga barangan keperluan menjelang Ramadan dan sambutan Aidilfitri tidak lama lagi sentiasa dikawal, golongan peniaga dan orang ramai di sekitar ibu kota hari ini dikejutkan dengan kenaikan harga barangan secara mendadak khususnya bekalan ayam.

Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Chow Kit dekat sini, mendapati, harga ayam melonjak mendadak mencecah kira-kira RM1.20 dan dijual pada harga antara RM8 dengan RM8.50 sekilogram berbanding RM7.30 sekilogram sebelum ini.

Peniaga, Mohd. Ismail Ibrahim, 51, berkata, kumpulan peniaga di pasar berkenaan terkejut selepas pembekal menaikkan harga bekalan ayam secara mendadak dan mereka tidak mempunyai pilihan selain menjual pada harga lebih mahal.

"Pihak pembekal mengenakan harga tinggi kepada kami sejak sebulan lalu sehingga kami terpaksa menaikkan harga untuk meneruskan perniagaan.

"Malah, kami diberitahu ada kemungkinan berlakunya kenaikan sebanyak 50 sen lagi harga ayam sepanjang Ramadan ini," katanya.

Sementara itu, peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Yahya turut mengakui terjejas dengan kenaikan mendadak harga ayam tersebut dan berharap kerajaan dapat mengambil langkah sewajarnya dengan segera.

"Kenaikan harga ayam akan membebankan banyak pihak daripada orang ramai sehinggalah kepada peniaga restoran," katanya.

Bagi peniaga, Mohd. Zaidi Ibrahim, 35, pula, dia berharap pihak berkuasa dapat mengawal kenaikan harga barangan keperluan harian secara menyeluruh termasuk memantau pihak penternak, pembekal, pemborong dan peniaga.

"Kebanyakan pelanggan selalu mengeluh dan ada antara mereka kerap meminta saya memberi potongan harga sedangkan saya tidak boleh berbuat demikian kerana mendapat bekalan pada harga tinggi," katanya.

Sementara itu, pengguna, Elfina Maksum, 42, berkata, harga ayam yang tidak menentu dan kadang-kala meningkat secara luar biasa menyebabkannya memilih sumber makanan lain.

"Saya terpaksa beli sayur-sayuran sahaja kerana lebih menjimatkan berbanding membeli bahan basah seperti ayam dan daging lembu," katanya.

Suri rumah, Nora Mohd. Nor Rahim, 53, dari Gombak pula mengakui terkejut selepas mengetahui kenaikan harga ayam sehingga ke tahap yang disifatkan tidak masuk akal.

"Saya tidak tahu sampai bila kenaikan harga ini akan berterusan, saya berharap pihak berkuasa boleh menjalankan tugas mereka supaya tiada pihak yang mengambil kesempatan kepada pembeli seperti kami," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment