My Add

Friday 12 July 2013

Harga ayam segar naik mendadak di Kelantan

Oleh YATIMIN ABDULLAH

KOTA BHARU, KHAMIS, 11 Julai, 2013: Kenaikan harga ayam segar di negeri ini bukan sahaja dirasai oleh para pengguna, malahan golongan peniaga turut terkena tempiasnya.

Kenaikan tersebut bagaimanapun mencetuskan kebimbangan para peniaga yang rata-rata khuatir perniagaan mereka mungkin terjejas disebabkan permintaan berkurangan.

Tinjauan Utusan Online di beberapa pasar di daerah ini dan Melor mendapati, ayam segar dijual antara RM7.50 hingga RM8 sekilogram sejak seminggu lalu berbanding sekitar RM6.50 sekilogram sebelum ini.

Seorang peniaga di Pasar Wakaf Che Yeh dekat sini, Che Esah Yunus, 46, berkata, kenaikan tersebut menyebabkan jualan ayam segar di gerainya mengalami sedikit penurunan berbanding sebelum ini.

Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada pemborong, kenaikan harga ayam di pasaran disebabkan bekalan makanan dan anak ayam yang berkurangan di pasaran.

"Difahamkan keadaan tersebut menyebabkan harga ayam naik secara mendadak di pasaran. Selaku peniaga, kami tidak dapat mengelak situasi tersebut kerana harga yang diperoleh daripada pemborong agak tinggi berbanding sebelum ini.

"Saya akui, jualan ayam di pasar ini agak lembab sedikit berbanding sebelumnya. Saya harap harga ayam akan kembali stabil selepas ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah Che Esah, harga bagi ayam bersih tanpa kepala dan perut yang dijual di pasar berkenaan ialah RM7.80 sekilogram manakala ayam biasa RM7.50 sekilogram.

Bagi Fadli Shah Islami, 38, peniaga ayam di Pasar Melor pula memberitahu, kenaikan harga tersebut menyebabkan jualan ayam di gerainya mengalami penurunan.

Katanya, kenaikan tersebut merupakan antara yang tertinggi pernah dicatatkan dalam tempoh tujuh bulan tahun ini.

"Saya jangka kenaikan ini akan berterusan sehingga sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti," katanya yang berniaga di pasar berkenaan sejak 18 tahun lalu. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment