My Add

Friday, 5 July 2013

Hargai, jaga keamanan negara - Imam Palestin

 * PENGURUS Jabatan Pengarang Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Syed Agil Syed Jaafar (tiga dari kiri) memberi penerangan kepada para imam dari Palestin yang melawat pejabat Utusan Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 04 Julai, 2013: Rakyat Malaysia khususnya umat Islam digesa menjaga dan menghargai nikmat keamanan yang dikecapi di samping mengambil pengajaran daripada kesengsaraan yang dialami penduduk Palestin serta pergolakan di Mesir.

Gesaan sedemikian dibuat oleh sekumpulan imam muda dari Gaza yang berada di negara ini bagi menyemarakkan suasana Ramadan kali ini.

Salah seorang imam muda itu, Walid M.I. Salem, 36, berkata, Malaysia sudah memiliki segala kemajuan serta nikmat keamanan yang perlu dikekalkan menerusi perpaduan dan sokongan rakyatnya.

Beliau yang juga pensyarah ilmu al-Quran di Universiti al-Azhar, Gaza memberitahu, tidak seperti di bumi Gaza, bukan sahaja penduduknya menderita akibat serangan rejim Zionis, malah turut berdepan dengan segala kekurangan khususnya bantuan perubatan.

"Ramai yang memerlukan bantuan ubat-ubatan tetapi tidak mencukupi. Kami memerlukan bantuan untuk rawatan dialisis. Ramai juga yang menghidap kanser dan kencing manis.

"Kekurangan-kekurangan ini berpunca daripada bantuan perubatan yang terhad ekoran sekatan Israel. Oleh itu, kepada rakyat Malaysia, kekalkan keamanan negara ini, jangan jadi seperti kami (Palestin)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengunjungi ibu pejabat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad di sini hari ini.

Walid bersama 13 orang imam muda lain berada di negara ini atas usaha Aman Palestin untuk mengimamkan solat tarawih sepanjang Ramadan selain berkongsi pengalaman mengenai kesengsaraan dan mengumpul dana membantu penduduk Palestin.

Sementara itu Mahmoud Diab Entifa, 33, yang turut berkongsi pengalaman pahit mengenai kehidupan di Palestin berkata, penduduk Palestin sentiasa berdepan dengan ancaman serangan Israel dan tiada hari yang 'bebas' untuk mereka menikmati keamanan.

"Bekalan elektrik sentiasa terputus. Bekalan makanan dan ubat-ubatan adalah satu keperluan. Ini (kesengsaraan Palestin) adalah isu umat yang memerlukan kebersamaan kita untuk membebaskan Palestin," tegasnya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut menjelaskan, selain mengimamkan solat tarawih, imam-imam terbabit yang berusia lingkungan 21 hingga 36 tahun akan ditugaskan di beberapa masjid seluruh negara untuk menjadi imam solat subuh dan memberi tazkirah termasuk di jabatan-jabatan kerajaan serta swasta.

"Kita juga akan menganjurkan majlis berbuka puasa perdana dan hasil jualan meja akan disumbangkan kepada penduduk Palestin nanti," tambahnya.

Mereka juga dijangka mengimamkan solat tarawih di Surau Al-Huda di ibu pejabat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad di Jalan Chan Sow Lin pada 10 dan 26 Julai ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment