My Add

Friday 5 July 2013

Rakyat Malaysia di luar negara perlu bersatu

 Oleh Bazli Abdul Rahman

 * TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail menurunkan tanda tangan bagi merasmikan Majlis Liqa’ Mawaddah Bersama Warga Malaysia sambil diperhatikan oleh Adnan Othman di Kuwait, semalam.

KUWAIT 4 Julai - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan rakyat Malaysia di luar negara supaya terus bersatu sambil mengekalkan jaringan harmoni dengan masyarakat tempatan.
Titah baginda, Malaysia akan terus dihormati jika rakyatnya tidak melanggar undang-undang negara lain serta tidak terpengaruh dengan pihak yang berniat tidak baik.

“Ketika di negara lain, kita wajar menyesuaikan diri dengan situasi di negara itu sendiri, sambil tidak lupa kepada pepatah lama iaitu ‘di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung’," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin membuat peringatan itu ketika bertitah dalam Majlis Liqa’ Mawaddah Bersama warga Malaysia sempena lawatan kerja Raja Muda Perlis di Regency Hotel di sini malam tadi.
Duta Besar Malaysia ke Kuwait, Datuk Adnan Othman hadir sama.

Tuanku Syed Faizuddin juga yakin semangat itu akan menjadikan Malaysia terus dihormati dan disanjung selagi rakyatnya tidak mencabar undang-undang negara lain.
Sementara itu, Adnan dalam ucapannya berkata, Malaysia dan Kuwait mempunyai hubungan akrab dan rakyat Malaysia sewajarnya mengambil kesempatan untuk menerokai peluang baharu perniagaan di negara ini.
Katanya, pada masa ini Kuwait adalah rakan perdagangan Malaysia keempat terbesar di negara Teluk dan pada tahun lalu, nilai perdagangan kedua-dua negara RM3 bilion.

Beliau berkata, pihak kedutaan juga mendaftar 222 rakyat Malaysia yang menetap di Kuwait dengan 22 daripadanya adalah pelajar yang mendapat tajaan kerajaan Kuwait.

Sebelum itu, Mufti Perlis, Datuk Mursyid Diraja Dr. Juanda Jaya menyampaikan ceramah bertemakan Wasatiyah Dalam Islam.

Beliau antara lain mengingatkan rakyat Malaysia di Kuwait supaya sentiasa bersikap sederhana dalam sebarang amalan dan tindakan.

Katanya, kesederhanaan amat dituntut dalam Islam dan sikap sederhana itu juga akan meletakkan rakyat Malaysia dan agama Islam terus dihormati.

Program Liqa' Mawaddah bertujuan mempertemukan rakyat Malaysia bagi menyuburkan ikatan silaturahim.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin; Presiden Allianze University College Of Medical Sciences (AUCMS), Datuk Dr. Zainuddin Wazir; Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Dr. Mohd. Mizan Mohamad Aslam dan Presiden Persatuan Rakyat Malaysia di Kuwait, Nor Hayati Salim. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment