My Add

Tuesday 9 July 2013

Hasil pertanian TKPM kuasai pasaran antarabangsa

Oleh JAZALY AMRY JAAFAR

GUA MUSANG, ISNIN, 08 Julai, 2013: Hasil pertanian Projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Lojing di sini, bakal menembusi pasaran beberapa buah negara lagi selepas kejayaan mendapat pasaran di Singapura dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum ini.

Pengarah Jabatan Pertanian Kelantan, Abdullah Ismail berkata, hasil pertanian seperti sayur-sayuran terutama tomato yang diusahakan 11 peserta projek itu mempunyai kualiti yang baik sekali gus sentiasa mendapat tempat untuk pasaran berkenaan.

Beliau berkata, hasil tanaman yang berkualiti daripada peserta TKPM itu mendapat pengiktirafan pengimport dari luar negara dan mereka ini juga mendapat kelulusan Sijil Akreditasi Ladang Malaysia (SALM).

"Sijil dan pengiktirafan ini diperoleh kerana peserta projek ini mematuhi amalan pertanian baik (APB), kita kini sedang berusaha untuk menambahkan lebih banyak lagi tempat tanaman tomato dengan menggunakan struktur pelindungan hujan (SPH).

"Sehingga kini terdapat 133 SPH telah disediakan di kawasan TKPM dan 234 SPH lagi bakal menyusul dan dijangka dapat disiapkan akhir tahun ini sebelum dapat digunakan Januari depan," katanya kepada pemberita selepas majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) Penjualan Hasil Tomato di TKPM Lojing, di sini semalam.

MoU itu melibatkan peserta TKPM yang diwakili ketuanya, Mohd. Nasharuddin Muda dengan Lembaga Pasaran Pertanian persekutuan (FAMA) yang diketuai Pengurus Pusat Operasi FAMA Cameron Highlands, Low Choon Hoo.

Yang turut hadir menyaksikan MoU berkenaan ialah Pengarah FAMA Kelantan, Wan Abdullah Wan Chik, Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian Kelantan, Mohd Noor Endut dan Pegawai Pertanian Gua Musang, Rahimi Yaacob.

Tambah Abdullah, sepanjang tahun lalu TKPM telah mengeluarkan sebanyak 900 tan metrik sayur-sayuran termasuk tomato yang bernilai kira-kira RM1.8 juta.

Sementara itu, Wan Abdullah pula berkata, FAMA menetap harga lantai pembelian tomato peserta TKPM dengan paling rendah iaitu RM1.30 sekilogram dan jika pasaran naik ia akan dibeli mengikut harga pasaran bagi menjamin pendapatan mereka.

"Sejak kita mengadakan pembelian dalam tempoh enam bulan sebanyak 34 metrik tan tomato sudah berjaya dipasarkan FAMA dengan hasil pulangan RM50,000.

"Mungkin selepas perjanjian kedua ini untuk tempoh enam bulan akan datang meningkat hampir sekali ganda," katanya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment