My Add

Tuesday 9 July 2013

Sasar 800,000 pelancong dari India 2014

MUMBAI, ISNIN, 08 Julai, 2013: Tourism Malaysia mempromosikan negara sebagai destinasi eksotik bagi menarik lebih ramai lagi pelancong India dan menetapkan sasaran menarik 800,000 pengembara dari negara tersebut pada 2014.

"India merupakan sebuah negara yang sangat penting bagi kami dari segi pelancongan selepas negara-negara Asia lain dan China. Sejak beberapa tahun lepas terdapat peningkatan kukuh kedatangan pelancong dari India dan kami mahu meneruskan usaha kami untuk membantu pertumbuhan ini," Akhbar Press Trust of India memetik Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen sebagai berkata.

"Tahun ini kami menjangka 780,000 pelancong dari India dan pada 2014 kami menyasar 800,000," kata Ng, di sini.

Jumlah aliran masuk pelancong antarabangsa dijangka berjumlah 26 juta pada 2013, katanya.

Yen Yen juga dipetik sebagai berkata, susut nilai rupee juga memberi manfaat kepada pelancong yang melawat Malaysia, juga destinasi bajet, kerana ia menawarkan pilihan luas untuk dipilih daripada mewah, pengembaraan, mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran, perkahwinan dan membeli belah.

Tourism Malaysia juga mahu memanfaatkan pengaruh Bollywood dan sedang berbincang dengan syarikat produksi berkaitan perkara ini, katanya.

"Kami menawarkan diskaun 30 peratus kepada syarikat produksi, selain memudahkan semua penyusunan asas seperti mencari lokasi, mendapatkan permit, pengangkutan antara lainnya," kata Yen.

Walaupun Malaysia dan India dihubungkan menerusi 106 penerbangan setiap minggu, terdapat keperluan bagi lebih banyak penerbangan untuk meningkatkan aliran masuk pelancongan, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment