My Add

Wednesday 24 July 2013

Isteri Allahyarham Dr. A. Rahman bersemangat keluar mengundi

BESUT, RABU, 24 Julai, 2013: Biarpun masih dalam kesedihan, isteri bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Allahyarham Dr. A. Rahman Mokhtar tetap bersemangat menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN tersebut hari ini.

Isteri Allahyarham, Azizah N. Omar, 53, tiba di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut di sini kira-kira pukul 9.30 pagi dan mengundi undi di saluran 1.

Beliau yang ditemui selepas itu berkata, harapannya ialah memastikan calon yang memenangi PRK tersebut akan meneruskan apa yang diusahakan arwah suaminya iaitu terus membangunkan kawasan ini dan membantu rakyat.

"Saya amat bersemangat untuk datang mengundi hari ini kerana mahu meneruskan perjuangan arwah, saya amat berharap Tangku Zaihan Che Ku Abdul Rahman menang kerana beliau dapat meneruskan agenda yang arwah suami rancangkan.

"Antara perancangan arwah suami saya ialah menambah rumah untuk penduduk Kuala Besut kerana ramai yang datang bertemunya meminta disediakan lebih banyak kemudahan asas itu.

"Selain itu, arwah juga berharap benteng pemecah ombak dapat dibina di muara sungai serta pekan kecil ini dibangunkan bagi menarik lebih ramai pelancong datang dan menambah lebih banyak lot kedai, kesemua ini akan menambah pendapatan masyarakat di sini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambahnya, beliau yakin Tengku Zaihan yang mewakili Barisan Nasional (BN) mampu meneruskan agenda dan perancangan suaminya demi masa depan yang lebih baik untuk penduduk Besut.

Pada PRK DUN Kuala Besut, Tengku Zaihan yang juga seorang jurutera dicabar oleh calon Pas, Endot @ Azlan Yusof, seorang kontraktor.

Hari ini seramai 16,534 pengundi menunaikan tanggungjawab mereka di lapan pusat mengundi dalam PRK pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

Pada pilihan raya umum lalu, Dr. A. Rahman mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 2008 dengan majoriti 2,434 undi mengatasi calon Pas Napisah Ismail. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment