KUALA LUMPUR, SELASA, 02 Julai, 2013: Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) mahu kajian semula mengenai pertukaran guru yang sudah berkahwin disegerakan demi menjaga keharmonian golongan itu.
Presidennya, Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hassan berkata, usaha kerajaan mempertimbangkan langkah tersebut disambut baik kerana pada amnya pasangan berkahwin mahupun sebuah keluarga tidak wajar dipisahkan dalam tempoh terlalu lama.
"Perkara ini secara tidak langsung akan memberi guru motivasi seterusnya membantu mereka untuk meningkatkan kualiti kerja.
"Pihak kami yakin sekiranya isu ini selesai, manfaat bukan sahaja berpihak kepada guru dan keluarganya, malah pelajar turut mendapat kebaikan melalui sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang lebih baik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Akhbar semalam melaporkan guru-guru yang hidup berjauhan dengan pasangan masing-masing dari segi kemanusiaannya diakui tidak elok dan kurang sesuai terutama pada mereka yang baharu melangsungkan perkahwinan.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Lok Yim Pheng menasihatkan para guru merancang pertukaran mereka secara serius.
"Terlalu banyak aduan tentang guru telah berjaya ditukarkan meminta mereka dipindahkan ke tempat lain atas alasan tidak serasi," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment