Oleh NUR HANANI AZMAN
KUALA LUMPUR, SELASA, 02 Julai, 203: Kos pengambilan pembantu rumah dari Indonesia pada harga baharu iaitu RM8,000 amat membebankan rakyat Malaysia sebagai pihak majikan.
Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, kos baharu itu disifatkan tidak munasabah berikutan pendapatan rakyat di negara ini masih berada pada tahap sederhana.
"Tiada cara lain yang boleh diambil bagi mengatasi masalah ini selain daripada melakukan perbincangan antara semua pihak agar keputusan sepakat boleh dicapai.
"Kami tidak mahu para majikan menjadi mangsa keadaan disebabkan satu pihak sahaja yang meletakkan harga tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Akhbar semalam melaporkan kerajaan bersetuju menetapkan kos pengambilan pembantu rumah warga Indonesia pada kadar RM8,000 setelah mengambil kira kos-kos yang wujud antara kedua-dua negara.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan penetapan kos tersebut adalah antara perkara yang terkandung dalam Memorandum Persefahaman Mengenai Pekerja Domestik Indonesia di Antara Kerajaan Malaysia dan Indonesia 2011 yang tertangguh pelaksanaannya sebelum ini.
Jacob mendesak kerajaan mengadakan perbincangan dengan semua pihak bagi memastikan kos pengambilan pembantu rumah Indonesia diturunkan ke paras munasabah.
Sementara itu, Presiden Persatuan Penasihat Pengguna-Pengguna Malaysia (PPPPM), M. Varatharajoo pula berpendapat, kos yang tinggi hanya akan menimbulkan banyak kesulitan berbanding memuaskan hati sesetengah pihak.
"Kos bagi pembantu rumah seharusnya ditetapkan berdasarkan kemampuan pengguna bukannya mengikut kepentingan sebelah pihak sahaja," katanya.
Menurut beliau, walaupun kadar pendapatan suami dan isteri jika digabungkan akan mencecah lingkungan RM10,000, mereka masih tidak mampu untuk membiayai kos yang terlalu mahal itu kerana perlu menanggung perbelanjaan lain.
Varatharajoo turut mencadangkan kerajaan mengadakan perbincangan dan mengkaji semula kos baharu tersebut bagi mengelakkan orang lain mengambil kesempatan mengaut keuntungan - UTUSAN
No comments:
Post a Comment