My Add

Wednesday 24 July 2013

JAIPk serbu hotel, restoran tanpa logo halal di Perak

IPOH, RABU, 24 Julai, 2013:: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menyerbu sebuah hotel dan sebuah restoran di sini yang didapati menggunakan bahan tidak mempunyai logo halal di dapur termasuk untuk menyediakan bufet Ramadan dalam Operasi Bufet Ramadan peringkat negeri, hari ini.

"Pemeriksaan ke atas hotel di Simpang Pulai dan restoran di Greentown yang turut disertai pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut mendapati premis berkenaan mempamerkan iklan bufet Ramadan tanpa mendapat persijilan halal daripada pihak berkuasa dan menggunakan logo halal diragui. Difahamkan, kedua-dua premis itu baru dua bulan beroperasi," kata Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin.

Beliau yang mengetuai operasi itu berkata, serbuan dilakukan oleh 19 pegawai bermula jam 10 pagi hingga 1 petang, mendapati premis memasang kain rentang menawarkan promosi juadah untuk berbuka dan menggunakan bahan masakan tanpa logo halal.

"Ini operasi pertama kita lakukan membabitkan isu berkaitan penggunaan perbahasaan halal oleh premis tahun ini. Pemeriksaan mendapati premis berkenaan tidak mempunyai sijil halal dan turut menggunakan bahan yang tiada logo halal.

"Pemasangan kain rentang pula akan membuat pelanggan beragama islam terkeliru dan adalah satu penipuan. Mereka (pengurusan hotel dan restoran) memberi alasan kurang arif berkenaan prosedur atau dalam proses permohonan (mendapat sijil halal)," katanya di sini, hari ini.

Mohd Yusop berkata, pengurusan kedua-dua premis berkenaan diberi amaran dan diarah menurunkan kain rentang yang memaparkan promosi bufet Ramadan manakala risalah berkenaan promosi sama di premis terbabit dirampas.

Beliau berkata, syarikat yang tidak mempunyai sijil halal tetapi menggunakan perbahasaan halal boleh dikenakan denda maksimun sehingga RM5 juta dan hukuman penjara jika disabitkan bersalah oleh mahkamah.

"Dalam kes serbuan hari ini (semalam), pihak KPDNKK akan membuat siasatan lanjut mengikut Seksyen 16 Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan, pengurusan akan didenda RM500,000 dan tiga tahun penjara atau kedua-duanya," katanya. - BH

No comments:

Post a Comment