My Add

Sunday 28 July 2013

JAKIM pantau pergerakan Syiah dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri

KOTA BHARU, AHAD, 28 Julai, 013: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) masih memantau pergerakan Syiah dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri memandangkan jumlah pengikut fahaman itu berbeza mengikut negeri.

Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha, berkata setakat ini tiada

bilangan spesifik pengikut fahaman itu memandangkan jumlahnya meningkat setiap hari.

"Jabatan Agama Islam Negeri juga menjalankan pemantauan bagi membantu kita
(Jakim) mengesan kelompok mana yang terlibat," katanya selepas Majlis Berbuka Puasa Saudara Muslim Masyarakat Orang Asli Peringkat Negeri Kelantan di Pusat Latihan Dakwah Orang Asli, Kok Lanas di sini, malam tadi.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom
berkata, kerajaan akan mengambil tindakan terhadap sesiapa saja yang
mengamalkan fahaman Syiah di negara ini tanpa mengira status atau fahaman
politik mereka. 

Jamil Khir dilaporkan berkata, apabila bercakap tentang Syiah, pengikutnya
amat sukar dikesan kerana golongan itu selalunya menyembunyikan identiti dan
sering berbohong bagi mengelakkan diri mereka dikesan menganuti fahaman itu.

Sementara itu, pada majlis itu, 36 orang Asli telah diIslamkan dengan
mengucap dua kalimah syahadah.

Othman berkata JAKIM dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri dan Majlis
Agama Islam Negeri sudah menubuhkan satu Jawatankuasa Penyelarasan Pendaftar
Mualaf bagi seluruh negara.

"Penubuhan jawatankuasa ini bertujuan bagi membincangkan pelbagai isu yang
berkaitan dengan pengurusan saudara muslim serta kebajikan mereka, " katanya,

Beliau berkata, JAKIM sedang merancang untuk membangunkan satu sistem yang
dinamakan e-Mualaf bagi mengumpulkan semua maklumat berkaitan saudara muslim
dalam satu capaian mudah untuk diakses.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Datuk Che Mohd
Rahim Jusoh dan Pengerusi Islamic Outreach Kelantan, Datuk Dr Abdul Razak
Kechik. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment