My Add

Monday 8 July 2013

Jangan biar polarisasi kaum hancurkan perpaduan - MPN

KUALA LUMPUR, AHAD, 07 Julai, 2013: Jurang polarisasi kaum yang semakin melebar selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) perlu ditangani semua pihak dengan segera terutamanya oleh kerajaan dan pembangkang agar masalah itu tidak menjerumuskan negara ke kancah kehancuran.

Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Zakri Abdul Hamid berkata, perpaduan antara kaum yang menjadi tonggak utama kestabilan negara semenjak merdeka akan terkubur jika masalah polarisasi tersebut tidak diatasi segera.

"Polarisasi kaum kini semakin meluas dan ini membimbangkan kita semua kerana sebagai sebuah negara yang kaya dengan kepelbagaian kaum dan agama, perpaduan serta keharmonian adalah aset berharga kita. Masalah ini perlu di atasi dengan segera oleh semua pihak.

"Jika tidak, ia menjadi penyakit yang akan memusnahkan perpaduan dan keharmonian yang kita nikmati sekian lama," katanya semasa berucap merasmikan seminar bertajuk 'PRU-13: Analisis Selepas Pilihan Raya' di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini hari ini.

Seminar selama dua hari tersebut merupakan anjuran MPN dan menampilkan ramai tokoh akademik tersohor antaranya bekas Rektor UIAM, Prof. Datuk Seri Dr. Syed Arabi Idid serta Presiden Jaringan Penyelidik Pendapat Awam ASEAN (ANPOR) Prof. Cho Sung Kyum.

Menurut Zakri, Malaysia berpeluang melaksanakan proses demokrasi iaitu mengadakan pilihan raya umum sebanyak 13 kali, mengikut waktu ditetapkan tanpa gagal adalah kerana keamanan yang dikecapi negara dan usaha ini perlu diperkukuh serta dipertahankan.

Sementara itu, Syed Arabi ketika muncul sebagai salah seorang ahli panel bagi membincangkan kesan jangka panjang terhadap negara selepas PRU-13 mencadangkan supaya keahlian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut melibatkan pemikir daripada kalangan tokoh akademik.

Beliau percaya jika diberi peluang, golongan akademik mampu memberi sumbangan signifikan ke arah penjenamaan semula SPR. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment