My Add

Tuesday 9 July 2013

JPS ganti pam di Kampung Baru atasi banjir kilat

KUALA LUMPUR, SELASA, 09 Julai, 2013: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan melaksanakan kerja penggantian pam sedia ada di Kampung Baru di sini bagi menyelesaikan masalah banjir kilat di kawasan itu.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr. James Dawos Mamit berkata, langkah itu dilihat sebagai satu-satunya penyelesaian memandangkan Kampung Baru berada di kedudukan lebih rendah daripada paras tebing air Sungai Klang.

"Pam yang ada berusia 15 tahun dan berkeadaan uzur serta tidak lagi mampu menampung limpahan air setiap kali hujan selama satu hingga dua jam," katanya menjawab soalan Datuk Johari Abdul Ghani (BN-Titiwangsa) mengenai banjir kilat yang dikatakan sering berlaku di Kampung Baru dan Datuk Keramat, pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

"Hasil kajian yang dijalankan, masalah utama banjir di kawasan itu disebabkan keupayaan pam di rumah Pam Kampung Baru yang terhad serta masalah sampah yang sering terperangkap di saluran-saluran utama," jelasnya.

Mengulas perkara itu, Dawos berkata, masalah banjir di kawasan Datuk Keramat pula berpunca daripada masalah saliran tempatan yang terletak di bawah penyelenggaraan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Dawos berkata, projek terowong pengurusan air banjir dan jalan (SMART) tidak berkaitan dengan masalah banjir di Kampung Baru dan Datuk Keramat kerana ia mengurangkan masalah banjir di pusat bandar raya Kuala Lumpur akibat limpahan Sungai Klang terutama di jambatan Tun Perak dan kawasan sekitar. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment