My Add

Tuesday 9 July 2013

Malaysia raih 9 pingat kemahiran dunia di Jerman

SEPANG, SELASA, 09 Julai, 2013: Peserta negara di Pertandingan Kemahiran Dunia (WSC) 2013 yang berlangsung di Leipzig, Jerman dari 3 hingga 6 Julai lepas meraih sembilan pingat kecemerlangan daripada 14 bidang kemahiran yang disertai.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot berkata, pencapaian ini amat membanggakan memandangkan pertandingan itu bertaraf antarabangsa yang disertai 54 negara.

Katanya, Malaysia menyertai pertandingan dalam bidang masakan, perkhidmatan restoran, teknologi fesyen dan penyejukbekuan serta penyamanan udara.

Bidang lain adalah pemanasan dan pemaipan, sistem rangkaian IT, dandanan rambut, kimpalan dan pemasangan elektrik, kata beliau.

"Peserta bidang masakan Chen Kim Leun merupakan peserta terbaik keseluruhan Malaysia di WSC dengan pencapaian 521 markah," katanya pada sidang akhbar selepas menyambut kepulangan Kontinjen Malaysia WSC 2013 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ismail Abdul Muttalib yang juga ketua kontinjen negara ke pertandingan itu, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Zainal Rahim Seman dan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Datuk Dr. Pang Chau Leng.

WSC 2013 disertai hampir 1,024 belia berumur 22 tahun ke bawah dari 54 negara dalam 46 bidang kemahiran yang dipertandingkan.

Sementara itu, Riot berkata, kontinjen negara perlu mempelbagaikan strategi untuk menghadapi WSC 2015 di Sao Paulo, Brazil dan meraih sekurang-kurangnya satu pingat gangsa.

Sehubungan itu katanya, program 'Road to Sao Paulo' akan diadakan sebagai persediaan menghadapi WSC 2015.

Sokongan daripada pelbagai pihak sama ada agensi kerajaan atau swasta amat diperlukan agar Malaysia berjaya membawa pulang pingat yang diimpikan, kata Riot.

Sementara itu, Chen, 22, berkata, pertandingan itu amat sengit kerana terpaksa bersaing dengan 34 peserta dari negara lain.

"Sepanjang empat hari pertandingan, saya perlu memasak dua hidangan pembuka selera, empat makanan sajian utama dan dua pencuci mulut," kata lulusan sarjana muda dalam Seni Kulinari dari Taylor's College itu.

Bagi Ruqaiyah Azahari, 19, pelajar lepasan Giat Mara Kuala Pilah yang menyertai pertandingan dalam bidang teknologi fesyen, beliau dikehendaki menjahit seluar, jaket dan blaus sepanjang pertandingan berlangsung.

"Kami diberi masa lima jam untuk menyiapkan seluar, empat jam untuk blaus dan 13 jam untuk jaket. Lebih mencabar apabila mesin jahit yang digunakan tidak sama seperti di Malaysia," katanya yang minat menjahit sejak berumur 10 tahun. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment