My Add

Sunday 7 July 2013

Kaji kesan TPPA terhadap harga ubat di pasaran

KUALA LUMPUR, SABTU, 06 Julai, 2013: Kerajaan diminta mengkaji kesan Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) terhadap harga ubat yang dijual di pasaran tempatan.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Datuk Syed Ali Alattas berkata, rakyat bimbang ubat yang dihasilkan syarikat farmaseutikal asing dijual pada harga lebih mahal berbanding sekarang.

Menurut beliau, senario itu dijangka berlaku sekiranya syarikat farmaseutikal tempatan yang mengeluarkan ubat generik tidak lagi mampu bersaing di pasaran.

"Kita bimbang ubat generik tidak dapat bersaing dengan ubat keluaran syarikat farmaseutikal asing yang dilindungi undang-undang hak cipta lebih ketat.

"Yang menerima kesannya ialah rakyat tempatan kerana mereka tidak mampu membeli ubat pada harga yang lebih mahal," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri persidangan meja bulat "Masa Depan Orang Melayu - Tuntutan Kepada Perubahan" di sini hari ini.

Persidangan meja bulat itu dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Sementara itu, Syed Ali berpandangan, kedudukan syarikat bumiputera dalam industri farmaseutikal kini semakin terpinggir ekoran persaingan sengit daripada syarikat milik kerajaan (GLC).

Beliau memberitahu, ketika ini penguasaan syarikat bumiputera dalam bidang yang bernilai hampir RM5 bilion itu tidak melebihi 20 peratus.

Katanya, keadaan bertambah runcing kerana industri farmaseutikal yang diunjurkan meningkat kepada RM11.26 bilion menjelang 2018 hanya dimonopoli beberapa GLC dan syarikat bukan bumiputera lain yang secara terkumpul menguasai sebanyak 80 peratus pegangan dalam pasaran.

"Permasalahan ini sekali gus menjadikan aspirasi kerajaan mencapai kuota sebanyak 30 peratus pemilikan ekuiti bumiputera dalam bidang ekonomi negara terbatas," katanya.

Sehubungan itu, Syed Ali menggesa kerajaan mengkaji semula peranan GLC dalam industri itu bagi memastikan ketidakseimbangan pegangan pasaran ketika ini berubah.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sektor industri negara perlu melaksana penambahbaikan bagi meningkatkan daya saing di peringkat global.

Menurut Syed Ali, sektor berkenaan tidak lagi boleh bergantung kepada faktor kos buruh yang rendah seperti ketika ini.

"Kalau kita tidak perbetulkan dalam masa 10 tahun, industri kita tidak akan ke mana," katanya.

Jelas beliau, kajian semula terhadap hala tuju sektor industri negara seharusnya dilakukan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dengan memberi tumpuan kepada penerokaan bidang-bidang baharu seperti teknologi hijau serta kegiatan penyelidikan dan pembangunan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment