My Add

Thursday 18 July 2013

Kakak terkejut adik maut

JASIN, RABU, 17 Julai, 2013: Kakak kepada wanita yang maut bersama anak lelakinya dalam nahas selang 15 minit di Lebuh Raya Utara-Selatan di Seremban, Negeri Sembilan malam tadi tidak menyangka pertemuan dengan adiknya beberapa jam sebelum nahas adalah yang terakhir bagi mereka.

Aznah Abdol Aziz, 53, tidak menyangka kegembiraan adiknya Allahyarham Widayati, 41, dan tiga anak arwah menyambut kepulangannya dari menunaikan umrah di tanah suci Mekah semalam berakhir dengan tragedi itu.

"Arwah (Widayati) menyambut saya pulang dari umrah di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur). Kami berbual panjang semasa singgah di Petronas Sepang kira-kira pukul 4.30 petang.

"Dia beria-ia nak balik ke Melaka dan berbuka puasa dengan saya walaupun pada masa yang sama dia ingin pulang segera ke rumahnya di Kapar, Klang," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Serkam Tengah, Merlimau hari ini.

Dalam kejadian pukul 11 malam tadi, Widayati dan salah seorang anaknya, Muhammad Shafiq Mohd. Yusob, 15, meninggal dunia dalam dua kemalangan selang 15 minit di Kilometer 247.6, Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Senawang sewaktu pulang ke rumah dari kampungnya.

Aznah berkata, dia dan Allahyarham bersama tiga orang anaknya sempat berbuka puasa di rumahnya.

Bagaimanapun selepas berbuka dan menunaikan solat Maghrib, dia meminta Allahyarham pulang ke Klang keesokan harinya.

"Bagaimanapun Arwah terpaksa pulang malam tadi kerana Muhammad Shafiq akan menghadapi peperiksaan percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR)," katanya.

Sebelum itu, ujar Aznah, dia sempat memberikan dua jubah untuk Allahyarham dan anaknya yang dibelinya di Mekah.

Dia terkejut apabila menerima panggilan kira-kira pukul 11.15 malam daripada sepupunya memaklumkan adiknya itu terbabit dalam kemalangan di Senawang.

Jenazah dua beranak itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Serkam Pantai di sini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment