My Add

Sunday 28 July 2013

Kaki judi nekad terjun laut elak dicekup polis

GEORGE TOWN, AHAD, 28 Julai, 2013: Sekumpulan kaki judi nekad terjun ke dalam laut bagi mengelak diberkas polis dalam Ops Dadu di sebuah pondok nelayan berdekatan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nasir Salleh berkata, dalam serbuan pada 3 pagi itu, enam lelaki berusia antara 31 hingga 55 tahun ditahan sementara beberapa orang lagi nekad terjun ke laut dan berjaya meloloskan diri.

"Mereka yang terjun, berenang kira-kira 100 meter ke tepian dan pantas melarikan diri serta masih belum dapat dikesan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam operasi berkenaan, polis turut merampas 52 keping kad pakau, wang sebanyak RM55 dari atas meja, selain wang dibawa kaki judi terbabit dipercayai untuk pertaruhan berjumlah RM3,930.

Katanya, kesemua lelaki terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda RM5,000, jika sabit kesalahan. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment