My Add

Saturday 13 July 2013

Kanak-kanak cedera kena tembakan rambang

Oleh MALINDA ABDUL MALIK

 * B. SHAWAN Yashwin kini dirawat di sebuah hospital selepas terkena tembakan rambang di pangsapuri Golf View, Sungai Nibong, Pulau Pinang, semalam. - utusan/Malinda Abdul Malik
PULAU PINANG, JUMAAT, 12 Julai, 2013: Seorang kanak-kanak lelaki patah tulang paha kiri selepas terkena tembakan rambang yang dilepaskan seorang lelaki di tempat letak motosikal pangsapuri Golf View, Sungai Nibong di sini malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 10.45 malam ketika mangsa, B. Shawn Yashwin, 4, mengikut bapanya berjumpa seorang rakan di kawasan itu.

Tiba-tiba muncul suspek yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC berwarna putih melepaskan sekurang-kurangnya 10 das tembakan dari jarak 10 meter ke arah mereka menyebabkan ketiga-tiganya bertempiaran lari bagi menyelamatkan diri.

Tiga lelaki India lain yang turut berada di tempat kejadian juga melarikan diri.

Sebutir peluru menembusi paha kanak-kanak terbabit manakala dahinya luka terkena serpihan peluru.

Bapa mangsa, E. Beritto, 33, yang bekerja sebagai penarik kereta dan tinggal di Sungai Tiram, Bayan Lepas sebelum itu melihat suspek mengelilingi kawasan perumahan tersebut beberapa kali.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah berkata, polis menemukan 11 kelongsong peluru jenis 9 mm di lokasi kejadian.

"Terdapat kesan darah dipercayai darah mangsa selain empat buah kenderaan penduduk rosak akibat terkena serpihan tembakan.

"Setakat ini tiada tangkapan dibuat tetapi polis percaya kes ini mempunyai kaitan dengan dadah," katanya ketika ditemui di tempat kejadian malam tadi.

Beliau menambah, hasil semakan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tidak dapat membantu disebabkan tumpuan hanya ke arah pintu lif.

Mangsa kini dirawat di sebuah hospital swasta di Bayan Baru dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil setelah menjalani pembedahan.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment