My Add

Friday 5 July 2013

KDN rampas 507 barangan hiasan al-Quran

Oleh NOOR HANIS HARUN

SEREMBAN, KHAMIS, 04 Julai, 2013: Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas sebanyak 507 barangan hiasan daripada ayat-ayat suci al-Quran yang dijual di beberapa premis di Nilai 3 di sini hari ini selepas terdapat beberapa kesilapan dari segi tanda bacaan serta penulisannya.

Operasi yang bermula pukul 12 tengah hari itu dijalankan oleh Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran KDN dengan kerjasama polis dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Ketua Unit Penguatkuasanya, Norazle Sulaiman berkata, dalam operasi tersebut sebanyak 29 buah premis telah diperiksa dan daripada jumlah itu 17 premis telah diambil tindakan.

"Pihak kami merampas sebanyak 507 barangan hiasan yang mengandungi ayat-ayat suci al-Quran ini dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM44,330.

"Kesemua barangan ini kita rampas dan pemilik premis telah diberi amaran mengikut Seksyen 14 Akta Percetakan Teks al Quran 1986," katanya selepas mengetuai serbuan itu.

Sementara itu, Naib Pengerusi Lajnah dan Tashih al-Quran KDN, Shafie Shaari berkata, antara kesalahan yang dikesan pada perhiasan yang dijual ini adalah kesilapan meletakkan tanda bacaan dan kesalahan menulis ayat suci berkenaan.

Katanya, walaupun hanya satu tanda bacaan tertinggal atau tersilap boleh memberi kesan yang besar kerana bacaan ayat suci berkenaan atau maknanya akan berubah.

"Ayat-ayat suci ini bukan sahaja dijadikan perhiasan di dinding tetapi juga dibaca oleh setiap orang yang melihatnya jadi sekiranya wujud kesilapan, itu boleh membawa makna yang berlainan.

"Kita sangat mengambil berat tentang kesalahan ini kerana impaknya sangat besar dan setiap peniaga perlu menyemak ayat-ayat suci ini sebelum dijual," tegasnya.

Menurutnya, mereka yang menjual perhiasan daripada ayat-ayat suci al-Quran ini diminta menyemak ayat berkenaan dengan KDN sebelum dijual kepada orang ramai. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment