My Add

Friday 5 July 2013

Langkawi dilanda banjir, 60 keluarga dipindahkan

Oleh ZARINA MD HASHIM

 * BEBERAPA penduduk di Taman Wawasan, Titi Changwang, Ulu Melaka menggunakan jengkaut untuk berpindah selepas rumah mereka dinaiki air dalam kejadian banjir di Langkawi hari ini. - UTUSAN
LANGKAWI, KHAMIS, 04 Julai, 2013: Hujan lebat sejak tengah malam tadi mengakibatkan sebanyak 26 kampung di pulau ini dilanda banjir kilat.

Antara kampung terlibat adalah Kampung Limbong Putra, Kampung Atas, Kampung Bawah, Kampung Titi Changkung dan Kampung Bukit Kemboja.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah, Che Ahmad Che Noor berkata, sehingga pukul 5 petang semalam, sebanyak 60 keluarga membabitkan 152 orang dipindahkan ke dua buah pusat pemindahan

Menurut beliau, sebanyak 43 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan sementara Dewan Al-Syifa dan 17 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Menengah Kebangsaan Kedawang.

Katanya, terdapat empat keluarga yang enggan berpindah ke pusat pemindahan menumpang di rumah saudara mara dan dua keluarga tidak berpindah.

“Setakat ini dua pusat pemindahan sementara dibuka. Bagaimanapun sekiranya tiada hujan pada malam ini, kesemua mangsa banjir ini akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing," katanya hari ini.

Menurut beliau, paras air Sungai Melaka di Padang Matsirat pula naik ke paras berbahaya dengan limpahan empangan memasuki kawasan pasar awam menyebabkan pasar tidak dapat beroperasi.

“Jalan besar dan Pasar Awam Padang Matsirat di sini terpaksa ditutup berikutan air dari empangan memenuhi kawasan berkenaan. Orang ramai yang melalui jalan berkenaan terpaksa berpatah balik demi keselamatan," katanya. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment