My Add

Friday 12 July 2013

Kecuaian kontraktor punca tiang elektrik voltan tinggi patah: SESB

PENAMPANG, KHAMIS, 11 Julai, 2013: Kecuaian kontraktor yang membuat kerja pembesaran parit di Jalan Papar Lama, dekat sini, telah mengakibatkan tiga batang tiang elektrik voltan tinggi milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) patah.

Pemeriksaan lanjut di tempat kejadian mendapati kerja itu menjejaskan kestabilan salah satu tapak tiang elektrik sebelum tumbang dan turut sama mematahkan dua batang tiang yang berdekatan pada 7.06 petang Selasa (9 Julai) lalu.

Menurut Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB, Ahmad Fuad Md Kasim, tiada laporan gangguan elektrik diterima di kawasan sekitar.

"Penutupan sementara bekalan elektrik telahpun dibuat pada jam 10.14 malam bagi membolehkan kerja pembaikan semula tiang dan talian elektrik dibuat dengan selamat," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Fuad berkata, satu set janakuasa mudah alih digunakan untuk mengurangkan impak gangguan elektrik kepada pengguna ketika kerja pembaikan kerosakan dibuat.

Hujan berterusan pada waktu itu, katanya, memperlahankan kerja pembaikan kerosakan dan anggaran awal kerugian daripada kejadian ini adalah sebanyak RM10,000.

Bagaimanapun, Ahmad Fuad berkata, bekalan elektrik berjaya dipulihkan secara berperingkat pada jam 10.30 malam pada hari sama.

Sehubungan itu, beliau menasihati pemaju atau kontraktor untuk merujuk kepada pejabat SESB terdekat sebelum memulakan kerja seumpama itu bagi mengelak kemalangan elektrik yang boleh mengakibatkan kecederaan dan maut selain gangguan bekalan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment