My Add

Monday 22 July 2013

Kelab eksklusif diserbu, 14 gadis Asia Selatan diselamatkan

 * SEBAHAGIAN daripada wanita warga asing yang ditahan oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dalam serbuan di sebuah premis hiburan ekslusif di Jalan Inai, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Nasirruddin Yazid
 KUALA LUMPUR, AHAD, 21 Julai, 2013: Sebuah kelab eksklusif yang mengaut keuntungan dengan menyajikan tarian Bollywood oleh gadis-gadis cantik dari Asia Selatan diserbu setelah disyaki terlibat dalam kes pemerdagangan manusia di Jalan Inai, di sini awal pagi ini.

Siasatan mendapati kelab berkenaan 'mengimport' gadis-gadis dari Nepal, Bangladesh, Pakistan dan India yang dipercayai berasal dari keluarga miskin setelah menjanjikan kerja menarik yang mampu mengubah hidup mereka di negara ini

Bagaimanapun apabila bekerja di kelab itu, mereka dikatakan bukan sahaja ditugaskan untuk menari sebaliknya boleh 'ditempah' oleh pelanggan untuk dibawa pulang, dipercayai untuk kegiatan seks.

Lebih malang, mangsa turut didakwa telah diberi sejenis pil ketika menari supaya mereka khayal dan mampu menari dengan ghairah serta senang dibawa keluar dari premis oleh pelanggan.

Ketua Operasi Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Asisten Supritendan Shahrul Nizam Jaafar berkata, serbuan pukul 12.30 tengah malam itu adalah hasil aduan daripada keluarga salah seorang gadis itu di Kedutaan India, baru-baru ini.

"Dalam laporan itu, ahli keluarga mereka mendakwa mangsa telah dieksploitasi untuk tujuan seks. Bertindak daripada itu, D7 dengan kekuatan dua pegawai serta 14 anggota telah menyerbu kelab berkenaan dan menahan 14 gadis daripada pelbagai negara.

"Turut ditahan tiga pekerja kelab terbabit untuk membantu siasatan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang (ATIP) 2007.

"Kesemua gadis itu terdiri daripada lima warga Pakistan, India (5), Nepal (3) dan Bangladesh (2) yang berusia antara 19 hingga 28 tahun," katanya ketika ditemui selepas serbuan di sini hari ini.

Dalam serbuan itu, Shahrul Nizam memberitahu, polis merampas beberapa buah kotak yang ditanda dengan nama gadis-gadis berkenaan yang dipercayai digunakan untuk membida mangsa. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment