My Add

Monday 22 July 2013

Tamatnya sumpahan Battersea

Oleh AZMAN IBRAHIM
 
 
PENCEMARAN udara di Kota London, Britain 30 tahun yang lalu menjadi punca Stesen Janakuasa Battersea diarahkan tutup buat selama-lamanya oleh kerajaan negara itu dan kini ia dibangunkan semula oleh konsortium syarikat dari Malaysia.

Bagaikan disumpah. penutupannya yang sudah tentu mengecewakan hati ribuan pekerja kilang arang batu itu, gagal membawa sebarang perubahan di kawasan seluas 16.5 hektar, sehingga ke hari ini.

Lebih-lebih lagi kedudukannya yang terletak di kawasan emas kota London yang semakin lama menunjukkan peningkatan nilai hartanah yang ketara.

Stesen janakuasa itu kini kelihatan sangat usang dan diibarat 'gajah putih' yang bertamu di kota London.

Namun, dalam tempoh 12 tahun akan datang, bekas stesen janakuasa itu bakal melalui fasa baharu pembangunan iaitu akan diubah kepada sebuah pusat urbanisasi yang unggul dan moden.

Paling membanggakan, fasa pembangunan baharu itu akan dijalankan oleh syarikat konsortium Malaysia.

Mengikut perancangan, empat serombong asap yang menjadi simbol sejarah daerah Battersea selama ini, akan dikekalkan pihak pemaju.

Malah, lebih tiga buah syarikat pemaju termasuk dari Hong Kong cuba membangunkan semula stesen janakuasa tersebut termasuk usaha untuk menjadikannya taman tema air, namun, gagal.

Kini, usaha syarikat konsortium Malaysia yang aktif merancang pelbagai projek pembangunan di kawasan itu dianggap berjaya menamatkan sumpahan di Battersea.

Pengarah Pembangunan Battersea Power Station Development Company (BPSDC), David Twohig berkata, perancangan syarikat konsortium Malaysia adalah sangat menjurus kepada keperluan penduduk London dan juga penduduk dunia.

Katanya, kehadiran syarikat Malaysia bagi menjalankan projek pembangunan di Battersea ibarat mendapat restu daripada warga Britain.

"Battersea mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi serta menjadi nadi pembangunan selatan London," katanya.

Tiga sebab utama mengapa syarikat Malaysia berjaya membangunkan semula bekas Stesen Janakuasa Battersea.

n Syarikat konsortium Malaysia mempunyai pasukan yang kukuh dan berpengalaman.

Syarikat konsortium yang dibentuk terdiri daripada syarikat-syarikat yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman di peringkat antarabangsa seperti Sime Darby Property Bhd., S P Setia Bhd. dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

n Kekuatan sumber kewangan dari syarikat konsortium bagi membangunkan projek.

BPSC telah mendapat sokongan dan jaminan pinjaman mudah bukan sahaja daripada Kerajaan Persekutuan Britain, sebaliknya turut mendapat sokongan daripada bank-bank tempatan dari Malaysia.

n Sebab ketiga kejayaan syarikat Malaysia membangunkan bekas stesen janakuasa tersebut adalah kepandaian mengurus risiko.

"Konsortium Malaysia mempunyai pengalaman yang amat luas dalam bidang hartanah sama ada di dalam atau di luar negara," kata Ketua Pegawai Eksekutif BPSDC, Rob Tincknell.

Stesen Janakuasa Battersea, London dibuka pada 1933 dan ditutup pada 1983 kerana menyumbang pencemaran.

Pembangunan semula keseluruhan kawasan stesen janakuasa seluas 15.6 hektar itu dijangka mengambil masa selama 12 tahun.

Nilai pembangunan kasar (GDV) projek tersebut dianggarkan sebanyak 8 bilion Pound Sterling (RM40 bilion).

Sebanyak 15 buah bangunan akan dibangunkan di kawasan stesen janakuasa tersebut dengan melibatkan lapan fasa kesemuanya.

Fasa pertama, Circus West merupakan projek pembangunan bercampur di tapak stesen janakuasa itu dengan 866 unit kediaman rumah bandar, pangsapuri dan penthouse, telah dilancarkan pada 9 Januari lalu di London, dan 12 Januari di Malaysia.

Setakat ini, lebih 96 peratus unit kediaman tersebut telah berjaya dijual dengan 400 unit telah dimiliki oleh taikun-taikun dan hartawan Malaysia.

Jika kesemua unit kediaman dibuka kepada rakyat Malaysia dan Asia, dipercayai laris dan habis dijual dalam tempoh singkat.

Namun, demi menjaga identiti pusat komuniti dunia, jualan telah dibuka kepada seluruh penduduk dunia.

Sebanyak 55 peratus kediaman yang ditawarkan di bawah projek BPSDC dibuka kepada penduduk dunia, manakala bakinya untuk penduduk Britain.

Paling penting, projek pembangunan semula di Stesen Janakuasa Battersea adalah milik Malaysia. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment