My Add

Saturday 6 July 2013

Kembara Queen Street bermula


 * NORZAHID Zahudi (dua dari kiri) melakukan simbolik penyerahan 3 unit kereta Chevrolet kepada Mohd. Hazli Hassan, di Ibu Pejabat Kumpulan Utusan, Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan, Noormala Othman (kanan) dan Md. Azrin Rosly.
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 05 Julai, 2013: Kembara Queen Street (KQS) sempena Ulang Tahun Ke-75 Utusan Melayu (M) Berhad secara rasminya akan bermula esok.

Konvoi bermotosikal itu akan turut melakar sejarah apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan mengetuai dan mengiringi peserta KQS semasa pelepasannya di bangunan baharu ibu pejabat Kumpulan Utusan di Jalan Chan Sow Lin di sini.

Kira-kira 100 penunggang motosikal berkuasa tinggi daripada Persatuan Superbike Malaysia (SAM) juga akan mengiringi konvoi berkenaan hingga ke Kajang.

Dalam pada itu, KQS terus mendapat sokongan pelbagai pihak dan yang terbaru daripada kerajaan negeri Perak, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pengedar kereta Chevrolet, Naza Quest Sdn. Bhd. (Naza Quest).

DI IPOH, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar, Nor Zainah Nordin berkata, tajaan RM10,000 itu antara lain bagi menyokong perjuangan Utusan Malaysia yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan bangsa Malaysia.

"Kerajaan negeri di bawah pentadbiran Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menyambut baik usaha Kumpulan Utusan untuk menjejaki kembali asal-usulnya.

"Mengimbau sejarah akar umbi akhbar ini juga membolehkan orang ramai terutamanya generasi muda mengetahui tentang sumbangan Utusan Melayu selama 75 tahun dari dahulu sehingga sekarang," katanya selepas menyampaikan cek sumbangan kepada Eksekutif Pengiklanan Utusan Media Sales Sdn. Bhd. cawangan Ipoh, Hafizul Abdul Hamid yang juga merupakan salah seorang peserta Kelab Kembara Bermotosikal Utusan Melayu (KKBUM).

Sementara itu, tajaan TNB sebanyak RM10,000 telah disampaikan oleh Ketua Tanggungjawab Korporatnya, Ahmad Zaki Rasid kepada Setiausaha Kelab Kembara Bermotosikal Utusan Melayu (KKBUM), Md. Azrin Rosly.

Ahmad Zaki berkata, pihaknya berasa bangga dapat membantu program berkenaan lebih-lebih lagi sempena Ulang Tahun Ke-75 Utusan Melayu (M) Berhad.

"Kita mengucapkan selamat jalan dan diminta peserta konvoi KQS yang akan menjelajah ke Johor Bahru, Singapura, Melaka dan Negeri Sembilan berhati-hati semasa di jalan raya," katanya.

Kembara itu bertujuan menjejak sejarah Utusan Melayu termasuk program berjumpa dengan veteran akhbar ini di Singapura bagi berkongsi pengalaman tentang penubuhan awal syarikat itu.

Dalam pada itu, Naza Quest turut menyediakan kenderaan Chevrolet model Colorado, Orlando dan Sonic untuk kegunaan sepanjang konvoi KQS esok.

Ketua Pegawai Operasi Naza Quest, Norzahid Zahudi berkata, pihaknya yakin peserta yang menaiki kereta Chevrolet itu akan berpuas hati dengan prestasi dan kemampuannya di atas jalan raya.

"Penajaan kereta Chevrolet ini juga diharap dapat membantu dalam menjayakan program yang telah dirancang sempena ulang tahun penubuhan akhbar ini," katanya selepas menyerahkan replika tajaan tiga unit kereta itu kepada Presiden Kelab Kembara Bermotosikal Utusan Melayu (KKBUM), Mohd. Hazli Hassan.

Yang turut hadir, Ketua Pemasarannya, Noormala Othman dan Pengarah Projek KQS, Asmarudin Jamaludin serta Setiausaha KKBUM, Md. Azrin Rosly.

Kembara tersebut turut disertai Penasihat KKBUM yang juga Penolong Ketua Pengarang 1 Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan di samping 46 ahli lain yang terdiri daripada wartawan, jurufoto serta pihak pengurusan Utusan Malaysia dan Kosmo!.  - UTUSAN

No comments:

Post a Comment