My Add

Saturday 6 July 2013

Banyak premis makanan kotor?

PUTRAJAYA, JUMAAT, 05 Julai, 2013: Kadar kebersihan premis-premis makanan di negara ini didapati berada tahap yang membimbangkan dan kurang memuaskan.

Menteri Kesihatan, Datuk Dr. S. Subramaniam berkata, perkara itu dapat dilihat melalui hasil pemeriksaan di seluruh negara bermula awal bulan ini yang mendapati sebanyak 22 peratus premis tidak mencapai tahap kebersihan memuaskan.

Beliau berkata, sehingga Rabu lepas, sebanyak 804 premis makanan diperiksa dan daripada jumlah itu, sebanyak 158 premis diarahkan tutup mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

"Tindakan ini diambil bagi memberi peluang kepada pemilik-pemilik premis tersebut untuk menjalankan kerja pembersihan dan penambahbaikan.

"Sementara itu, sebanyak 19 notis perintah hadir ke mahkamah di bawah Seksyen 32B, Akta Makanan 1983 telah dikeluarkan kepada pengusaha makanan yang gagal untuk mematuhi peruntukan tertentu di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Subramaniam berkata, operasi yang disertai 1,000 anggota penguat kuasa kementerian dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) itu tertumpu di kawasan yang menjadi pusat tumpuan orang ramai terlebih dahulu.

"Contohnya, ada satu kawasan tumpuan orang ramai di Shah Alam, sebanyak 23 daripada 24 premis yang diperiksa di arah tutup kerana tidak bersih.

"Tindakan untuk mengarahkan sesebuah premis itu ditutup merupakan langkah terakhir yang akan diambil oleh pihak kementerian setelah amaran diberikan terlebih dahulu kepada pengusaha premis berkenaan," katanya.

Beliau menambah, operasi pemeriksaan tersebut akan diteruskan dalam tempoh dua minggu lagi di beberapa lokasi tumpuan di seluruh negara.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Kesihatan akan sentiasa menjalankan aktiviti pemeriksaan ke atas premis makanan di bazar Ramadan sempena bulan puasa yang akan menjelang tidak lama lagi.

Jelasnya, langkah tersebut diambil bagi memastikan makanan yang dijual adalah bersih dan selamat kepada pengguna. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment