My Add

Saturday 13 July 2013

Kemenangan BN dapat stabilkan politik negeri - TPM

 * CALON BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman (kanan) bersama calon Pas, Endot @ Azlan Yusof mengangkat tangan selepas proses penamaan calon di Dewan Serbaguna, Kompleks Rakan Muda Daerah Besut, Terengganu, semalam.
BESUT, JUMAAT, 12 Julai, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin calon Barisan Nasional (BN), Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman, 37, bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut mampu membawa kemenangan kepada BN, sekali gus menstabilkan suasana politik di negeri ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, keadaan itu menuntut kemenangan lebih besar dan melalui pilihan raya 24 Julai ini, calon muda tersebut juga berpeluang menyambung khidmat bakti sebagaimana pendekatan penyandang terdahulu, Allahyarham Dr. A. Rahman Mokhtar.

"Tengku Zaihan akan teruskan kecemerlangan Dr. A. Rahman, malah lebih daripada itu juga untuk generasi muda," katanya dalam sidang akhbar selepas mengetuai perarakan mengiringi calon BN, Tengku Zaihan ke pusat penamaan calon di Kompleks Rakan Muda Daerah Besut di sini hari ini.

Yang turut serta, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, beliau juga menggesa seluruh rakyat memberi sokongan padu kepada calon berkenaan agar BN terus berkuasa dan meneruskan pembangunan di kawasan itu.

Katanya, rakyat perlu menaruh keyakinan tinggi kepada calon bagi kerusi Kuala Besut itu berdasarkan ketokohan, kredibiliti dan latar belakang keluarga yang dimiliki bekas jurutera awam itu.

"Kita harap keputusan PRK Kuala Besut yang bakal diketahui pada 24 Julai ini nanti bukan saja di sebelah BN, malah BN akan mendapat undi lebih besar.

"BN telah menggerakkan jenteranya yang diketuai Idris dan dibantu Menteri Besar serta semua pemimpin peringkat negeri yang telah menghantar pasukan masing-masing,'' katanya.

Muhyiddin bagaimanapun berkata, gerak kerja jentera BN bagi menghadapi PRK Kuala Besut kali ini akan mengambil kira kesesuaian bulan Ramadan yang mulia, menerusi pendekatan lebih berhemah dan tertib. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment