My Add

Thursday 25 July 2013

Kementerian Kesihatan audit kantin sekolah

PUTRAJAYA, RABU, 24 Julai, 2013: Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanannya akan menjalankan pengauditan terhadap kantin sekolah di seluruh negara dalam masa terdekat ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, tindakan tersebut adalah untuk memastikan pihak pengurusan kantin dan pembekal makanan mematuhi ciri-ciri kesihatan yang ditetapkan.

"Kita mahu pastikan murid-murid di sekolah dihidangkan dengan makanan yang bersih dan sihat dan bukannya makanan menyebabkan penyakit.

"Oleh itu, saya sudah meminta bahagian bertanggungjawab untuk mengaudit semua kantin sekolah, termasuklah pembekal makanan serta kontraktor yang dilantik pejabat pendidikan daerah masing-masing," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Subramaniam berkata, langkah pengauditan tersebut dijalankan secara berterusan pada tahun ini bagi mengelakkan berlakunya kes keracunan makanan kepada murid-murid.

Pada masa sama, beliau meminta pihak pengurusan sekolah mengambil berat hal kebersihan kantin dalam mengekang kes keracunan makanan daripada terus merebak.

"Pihak sekolah perlu memantau pembekal makanan dan pengendali kantin bagi memastikan makanan yang dihidangkan sihat dan bersih," katanya.

Beliau menambah, sehingga Mei tahun ini, sebanyak 6,168 kantin sekolah telah diperiksa dan 85 daripadanya diarahkan tutup di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983.

Sementara itu, beliau berkata, bermula Januari sehingga semalam, sejumlah 14,931 kes denggi dilaporkan di seluruh negara berbanding hanya 12,910 pada tahun lepas dalam tempoh sama.

"Jumlah kematian juga meningkat tahun ini yang mana pada tempoh sama, sebanyak 29 kematian dilaporkan berbanding 25 kematian tahun lepas.

"Lokaliti wabak denggi seluruh negara juga terus meningkat iaitu daripada 139 lokaliti wabak pada minggu sebelumnya kepada 159 minggu lepas," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment