My Add

Monday 29 July 2013

Kerajaan diminta segera selesai krisis bekalan diesel

KUALA LUMPUR, AHAD, 28 Julai, 2013: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan digesa menyelesaikan segera krisis kekurangan bekalan diesel di seluruh negara yang berlarutan sejak tiga bulan lalu.

Seorang pemandu bas persiaran, Norhafiz Khan Abu Bakar, 29, berkata, situasi menjadi lebih teruk apabila bekalan diesel sejak akhir-akhir ini bukan sahaja berkurangan, malah kehabisan stok di hampir setiap stesen minyak yang dikunjunginya.

Katanya, masalah itu jika tidak diatasi segera akan menyebabkan industri berkaitan mengalami kerugian, sekali gus ekonomi negara lumpuh.

"Jumaat lalu semasa saya berada di Kluang, Johor, ketujuh-tujuh stesen minyak yang saya pergi memberitahu bekalan diesel telah habis. Di tempat-tempat lain juga begitu.

"Masalah ini akan menyebabkan operasi syarikat perkhidmatan bas persiaran seperti kami lumpuh dan pendapatan terjejas," katanya ketika ditemui dalam tinjauan Utusan Malaysia tentang masalah itu di sebuah stesen minyak di sini hari ini.

Seorang kontraktor, Tan Yoon Chong, 45, berkata, kenderaan pacuan empat roda yang digunakannya seharian untuk melakukan kerja-kerja pembinaan tidak dapat bergerak selama tiga hari, gara-gara kehabisan diesel.

Katanya, mujur stesen minyak terakhir yang dikunjunginya di sini masih mempunyai bekalan diesel kerana sebelum itu, di lima buah stesen, situasinya sama iaitu kehabisan stok.

"Kerajaan tolong pantau situasi ini. Kalau boleh beri lebih banyak kuota diesel kepada stesen minyak supaya pengguna tidak mengalami masalah. Mungkin juga ada berlaku penyelewengan, jadi kerajaan perlu siasat," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemandu bas persiaran, Shahrul Azwan, 56, berkata, bekalan diesel bukan sahaja sukar didapati, malah terdapat sesetengah stesen minyak meletakkan had bagi penjualan bahan api itu.

"Kami terpaksa membuang masa pergi ke beberapa stesen minyak untuk mendapatkan bekalan diesel secukupnya kerana rata-ratanya mengehadkan penjualan antara RM50 dan RM100 sahaja.

"Dalam situasi sekarang yang mana bekalan diesel tidak mencukupi, kami terpaksa membazirkan baki diesel yang ada pula untuk mencari stesen minyak lain bagi mendapatkan bekalan tersebut," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment