My Add

Monday 29 July 2013

KPDNKK lulus 24 juta liter kuota tambahan diesel

KUALA LUMPUR, AHAD, 28 Julai, 2013: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan hari ini meluluskan kuota tambahan diesel bersubsidi sebanyak 24,196,271 liter ke seluruh negara.

Kementerian itu dalam kenyataan di sini menjelaskan, penghantaran bahan bakar tersebut ke stesen-stesen yang terputus bekalan sedang dilakukan oleh semua syarikat minyak dan dijangka selesai selewat-lewatnya esok.

Kata kenyataan itu, jumlah tersebut merupakan tambahan kepada yang telah diluluskan sebelum ini iaitu sebanyak 25,787,500 liter.

"Keperluan diesel yang meningkat secara mendadak ini adalah di luar jangkaan pihak kementerian dan syarikat-syarikat minyak sendiri.

"Sehubungan itu, kementerian berharap tindakan yang diambil dengan kerjasama semua syarikat minyak ini akan dapat mengatasi masalah kekurangan bekalan diesel," kata kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu lagi, penentuan kuota diesel bersubsidi yang dilaksanakan oleh kementerian adalah dengan memperuntukkan setiap syarikat minyak sejumlah kuota bulanan berdasarkan kepada trend penggunaan diesel.

Bagaimanapun kata kenyataan itu, sekiranya terdapat keperluan tambahan, pihak kementerian dengan kerjasama Kementerian Kewangan sentiasa mempertimbangkan permohonan tambahan kuota berkenaan.

"Kementerian sentiasa peka dengan keperluan diesel bersubsidi yang menjadi keperluan sebahagian masyarakat di negara ini," kata kenyataan itu. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment