My Add

Monday, 29 July 2013

Kerajaan Pusat salur RM50 juta

 
* MUSTAPA Mohamed (kanan) bersalaman dengan Mukhriz Tun Dr. Mahathir dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri di Wisma Darul Aman di Alor Setar, Kedah, semalam. - BERNAMA

ALOR SETAR, AHAD, 28 Julai, 2013: Masalah bekalan air di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan yang akan mempertimbangkan permohonan kerajaan negeri untuk meningkatkan infrastruktur dan kapasiti bekalan air di kawasan itu yang menelan kos RM50 juta.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pihaknya akan mengkaji secara serius permohonan itu bagi memberi keselesaan kepada pelabur sedia ada yang berdepan dengan gangguan kritikal bekalan air.

Tambah beliau, keperluan bekalan air di KHTP adalah mendesak kerana beliau pernah dikunjungi beberapa syarikat di kawasan itu dua tahun lalu, yang berdepan masalah gangguan bekalan serius sehingga menyebabkan mereka mengalami kerugian.

"Ada permohonan agar bekalan air di KHTP ditingkatkan dan apabila fasa empat siap, pasti akan menjadi masalah besar. Nama teknologi tinggi, namun bekalan air tidak dapat diselesaikan maka tidak boleh panggil teknologi tinggi.

"Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) akan lihat bagaimana untuk membantu kerana air di kawasan itu adalah keperluan mendesak," katanya dalam sidang akhbar di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri (JBI) dengan Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir yang membincangkan perkembangan perindustrian di Kedah selain pembentangan projek-projek baharu oleh kerajaan negeri dan sektor swasta.

Menurut Mustapa, bekalan air yang diperlukan di KHTP ialah 200 juta liter sehari berbanding kemampuan ketika ini sebanyak 170 juta liter agar kawasan perindustrian itu menepati piawaian taman teknologi tinggi.

"Wakil KeTTHA dan EPU yang turut bersama dalam mesyuarat ini memberi jaminan akan mengkaji perkara itu secara serius," katanya.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, kerajaan negeri akan menguruskan perkara tersebut untuk tempoh jangka panjang dan pendek yang akan diselesaikan secepat mungkin.

Katanya, kerja-kerja infrastruktur di fasa empat KHTP melibatkan kawasan seluas 162.4 hektar berjalan lancar dan dijangka siap sepenuhnya Julai tahun depan.

"Saya optimis KHTP mampu menarik pelabur kerana mempunyai reputasi tersendiri dan taman teknologi itu antara kawasan pelaburan terbaik di negara ini," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment