My Add

Monday 29 July 2013

Pasukan perubatan Malbatt 5 diyakini penduduk Lebanon

Oleh Syukri Shaari

* HAFIZUL Asrar Abdul Razak memberikan rawatan kepada Mahmoud di Hospital Tahap Satu, Kem Tibnine, Lebanon, semalam.
TIBNINE (Lebanon), AHAD, 28 Julai, 2013: Meskipun kekurangan daripada aspek tenaga pakar, namun kekangan tersebut tidak mematahkan semangat pasukan perubatan Batalion Malaysia (Malbatt) 5 yang berpangkalan di Kem Tibnine di sini untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk setempat.

Ketua Pasukan Perubatan Malbatt 5, Kapten Dr. Hafizul Asrar Abdul Razak memberitahu, kekurangan tenaga pakar memang menjejaskan sedikit operasi pusat kesihatan itu memandangkan tiada yang ‘dapat’ mengesahkan diskripsi pembekalan ubat khususnya untuk penyakit kronik seperti jantung dan diabetes.

“Kebiasaannya, masalah kesihatan membabitkan penduduk di sekitar kawasan ini berkait rapat dengan faktor perubahan cuaca serta meliputi penyakit seperti selesema, batuk, kecederaan dipatuk ular, kecederaan sukan dan kecederaan minimum lain yang kami mampu bekalkan ubat untuk merawatnya.

“Bagaimanapun, untuk penyakit kronik seperti kencing manis, jantung dan sebagainya, kami memang tidak mempunyai ubat setaraf di hospital memandangkan di pusat kesihatan ini tiada tenaga pakar untuk mengesahkan diskrispsi ubat bagi penyakit-penyakit berkenaan," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Peringkat Satu Kem Tibnine di sini.

Walaupun begitu, menurut Hafizul, kekangan berkenaan bukanlah alasan untuk beliau serta anggotanya mengabaikan tugas kerana mereka tetap memberikan rawatan dan ubat terbaik kepada penduduk setempat.

“Setakat ini kami tidak menghadapi sebarang masalah untuk merawat penyakit yang dihidapi penduduk setempat dan sekiranya kami tidak mempunyai kepakaran khususnya membabitkan penyakit kronik, kami akan terus menghantar pesakit ke hospital kerajaan berdekatan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Dalam pada itu, selain beroperasi selama 24 jam seminggu di pusat kesihatan ini, kami juga menggerakkan pasukan memasuki kawasan-kawasan perkampungan di sekitar untuk membekalkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan terus kepada penduduk," jelasnya.

Mengulas mengenai sambutan penduduk setempat terhadap pusat kesihatan itu, Hafizul memberitahu, pada satu tahap warga tempatan lebih mempercayai perkhidmatan yang diberikan di situ berbanding hospital di kawasan berkenaan.

“Maklum balas penduduk tempatan terhadap perkhidmatan yang kami sediakan sangat positif. Lebih-lebih lagi perkhidmatan di sini adalah percuma, berbanding mendapatkan rawatan di klinik-klinik luar yang boleh mencecah kos sehingga RM120.

“Mereka juga sangat berterima kasih kepada Malbatt kerana menyediakan perkhidmatan ini. Malah, penduduk tempatan turut membawa golongan pelarian dari Syria untuk mendapatkan rawatan di sini kerana mempercayai perkhidmatan yang kami sediakan," ujarnya.

Seorang warga tempatan, Mahmoud Ajaj, 26, memuji langkah Malbatt menyediakan bantuan perubatan kepada penduduk sekitar dan menyifatkan perkhidmatan yang disediakan di pusat kesihatan itu sebagai sangat bagus.

“Kami amat berterima kasih dengan pasukan Malbatt serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana menyediakan perkhidmatan ini bagi memastikan bukan sahaja keselamatan penduduk setempat terjaga tetapi kesihatan kami juga diambil berat," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment