My Add

Friday 19 July 2013

Kerajaan tubuh jawatankuasa siasat punca insiden murid mati tersepit lif

PUTRAJAYA, KHAMIS, 18 Julai, 2013: Kerajaan akan menubuhkan sebuah jawatan kuasa bagi mengkaji punca kematian murid tahun lima akibat tersepit dalam lif yang rosak di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur semalam.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, jawatankuasa tersebut akan diketuai Timbalan Ketua Pengarah dan Pembangunan Sosio Ekonomi, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mohd. Amin Nordin Abdul Aziz.

"Kita mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan saya telah meminta jawatan kuasa itu untuk menyiasat secara rapi insiden ini serta puncanya," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Bantuan Kepada Ibu Tunggal, Warga Emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) di Surau Presint 14, di sini hari ini.

Dalam kejadian semalam, Khairulamir Azri Lani, 11, maut akibat tersepit dalam lif yang rosak sewaktu pulang dari sekolah menuju ke rumah neneknya yang terletak di tingkat tiga flat itu.

Menurut Tengku Adnan, berdasarkan laporan awal lif tersebut diselenggara mengikut jadual.

Namun, kata beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan terdapat perbuatan vandalisme yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab yang merosakkan harta awam itu.

"Saya nasihatkan semua pihak jaga harta awam seperti harta sendiri dan tidak hanya serahkan kepada kerajaan, kita bimbang jika tidak dijaga dengan sempurna akhirnya akan memudaratkan diri sendiri.

"Dalam masa sama, saya juga nasihatkan ibu bapa mengawasi anak masing-masing supaya insiden sebegini tidak berulang," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment