My Add

Friday 19 July 2013

Wujudkan jawatankuasa khas bincang akta baharu

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 18 Julai, 2013: Parlimen digesa mewujudkan sebuah jawatankuasa pemilihan yang berfungsi sebagai badan percambahan ilmu dan idea selain mendapat pandangan orang ramai berhubung pembentukan rang undang-undang Akta Keharmonian Nasional.

Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, jawatankuasa yang dicadangkan turut dianggotai Ahli Parlimen pembangkang itu bertujuan memastikan undang-undang yang komprehensif dapat dikemukakan kepada Parlimen kelak.

"Perbincangan bersama dapat dijalankan untuk mengeluarkan idea yang bernas supaya satu rang undang-undang yang teratur dan lengkap dapat dibentang dan diluluskan di Parlimen nanti," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini menjelaskan, Akta Keharmonian Nasional tidak akan menjejaskan kuasa kerajaan dalam menangani perbuatan yang mengganggu-gugat perpaduan dan keharmonian masyarakat.

Menurut Perdana Menteri, akta baharu itu juga akan mengekalkan tiga prinsip utama antaranya menangani perbuatan yang membawa permusuhan antara kaum, menghina Raja-raja Melayu atau mempersoal keistimewaan yang diperuntuk di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Kata beliau, pengekalan tiga prinsip utama iaitu menangani perbuatan yang membawa permusuhan kaum, menghina Raja-raja Melayu dan mempersoal keistimewaan yang diperuntuk di bawah Perlembagaan Persekutuan juga dilihat mampu memastikan negara berada dalam keadaan harmoni dan bersatu padu.

"Undang-undang tersebut diharap mampu meningkatkan kesedaran rakyat berhubung tanggungjawab mereka untuk menghormati hak asasi dan kebebasan yang diberikan kepada mereka.

"Semua ini dilakukan supaya ketegangan antara kaum tidak berlaku lagi, semua rakyat harus mempraktikkan lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment