My Add

Thursday 25 July 2013

Ketua Menteri turut bantu mangsa pesawat terhempas

MELAKA, RABU, 24 Julai, 2013: Kejadian pesawat ringan terhempas di perairan Selat Melaka berdekatan Masjid Selat di sini, malam tadi bukan sahaja mengejutkan para jemaah tetapi Ketua Menteri, Datuk Idris Haron yang sedang mengerjakan solat tarawih di masjid tersebut ketika kejadian.

Menurutnya, sewaktu sedang mengerjakan solat tarawih para jemaah terkejut sebaik sahaja sebuah pesawat terhempas ke laut di hadapan masjid itu.

Katanya, para jemaah kemudian bergegas ke tempat kejadian dan mendapati terdapat dua mangsa iaitu seorang lelaki sedang berenang sambil menarik seorang wanita ke arah masjid.

"Semua jemaah membantu kedua-dua mangsa yang masih berada di dalam air dengan menghulurkan kayu, tali dan serban untuk menarik mereka ke darat.

"Seorang lagi mangsa dihanyutkan arus ke tengah laut telah menggunakan lampu suluh memberi isyarat dari jarak jauh kira-kira satu kilometer, saya yang turut melihat isyarat tersebut segera mengarahkan pasukan menyelamat mendapatkan mangsa terakhir itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat ketiga-tiga mangsa di Unit Kecemasan Hospital Melaka, di sini semalam.

Yang turut hadir, isteri beliau, Datin Fadilah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Naim Abu Bakar dan Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye.

Dalam kejadian itu, sebuah pesawat pelatih jenis PA28 dari Akademi Penerbangan Melaka berpangkalan di Lapangan Terbang Batu Berendam dekat sini, terhempas di perairan Selat Melaka.

Walau bagaimanapun, tiga mangsa iaitu pembantu juruterbang Kapten Sharon, 27, serta dua pelatih iaitu Soh Sien Shoong, 22, dan Faeruz Kamil terselamat dalam kejadian itu dan hanya mengalami kecederaan ringan.

Menurut Idris, beliau berterima kasih kepada semua pihak termasuk pasukan keselamatan dan jemaah masjid yang bertungkus-lumus membantu menyelamatkan kesemua mangsa.

"Kita bersyukur kerana ketiga-tiga mangsa terselamat daripada kejadian yang lebih buruk dan kini berada dalam keadaan stabil," ujarnya.

Tambahnya, beliau turut mengucapkan tahniah kepada ketiga-tiga mangsa kerana mempunyai semangat ikhtiar hidup yang tinggi dan saling membantu antara satu sama lain.

"Semangat seperti ini ditambah kekuatan jati diri wajar dijadikan contoh kepada anak-anak muda lain," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment