My Add

Thursday 25 July 2013

Nilai hartanah negara dijangka meningkat 12%

 * SEBAHAGIAN daripada projek perumahan mewah di sekitar bandar raya Kuala Lumpur yang mendapat sambutan menggalakkan.
KUALA LUMPUR, RABU, 24 Julai, 2013: Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA) menjangkakan nilai sektor hartanah negara akan bangkit semula separuh kedua tahun ini untuk mencapai pertumbuhan sekitar 12 peratus setahun.

Presidennya, Siva Shanker berkata, pada separuh pertama tahun ini pelabur dan pembeli hartanah agak berhati-hati dengan pasaran berikutan pilihan raya umum dan pertumbuhan jualan agak perlahan.

"Namun pelabur dan pembeli dijangka mula membuat pembelian ketika ini untuk mengimbangi situasi yang perlahan sebelum ini," katanya pada sidang akhbar selepas majlis Unjuran Pasaran Hartanah Pasca PRU 13 di sini hari ini.

Beliau berkata, pertumbuhan sekitar 10 hingga 13 peratus adalah stabil berikutan kawalan pembiayaan berhemah yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) tahun lalu.

"Pengenalan kawalan berkenaan tepat pada masanya dan berjaya mengawal kenaikan harga hartanah secara mendadak yang boleh menyumbang kepada gelembung hartanah.

"Pada 2010-2011, sektor hartanah mencatatkan pertumbuhan sehingga 35 peratus dan ini tidak baik untuk jangka masa panjang. Kawalan BNM telah mengekalkan pertumbuhan pada paras selamat pada tahun lalu iaitu sekitar 10 hingga 12 peratus," jelasnya.

Ditanya kemungkinan untuk Malaysia berdepan dengan gelembung hartanah, Siva berkata, dalam keadaan sekarang hampir mustahil untuk fenomena berkenaan berlaku.

"Tahun ini, kami jangka tiada fenomena kenaikan harga yang melampau. Dalam tempoh 15 tahun ini, sektor hartanah Malaysia sangat stabil," ujarnya.

"Sebagai contoh ketika krisis ekonomi 2008-2009, nilai hartanah di Singapura jatuh antara 40 hingga 50 peratus tetapi sebaliknya di Malaysia, harganya kekal.

Mengulas mengenai peraturan baharu yang diperkenalkan oleh BNM dengan mengurangkan tempoh pembiayaan hartanah, beliau berkata, tiada impak besar dijangkakan.

"Sektor perbankan mengatakan kepada MIEA bahawa perniagaan berjalan seperti biasa dan pembelian hartanah kekal," jelasnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment