My Add

Friday 26 July 2013

Khairy saran pertubuhan belia Sabah daftar di bawah ROY

PUTATAN, JUMAAT, 26 Julai, 2013: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah dan pusat akan bekerjasama bagi memastikan badan belia di Sabah yang sebelum ini berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS), didaftarkan semula di bawah Pertubuhan Belia (ROY).

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata langkah ini bertujuan menyelaras pelaksanaan program dan bantuan peruntukan kepada badan belia di bawah pertubuhan sama.

"Kementerian Belia dan Sukan akan merujuk kepada Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Titingan supaya dapat membantu proses peralihan ini bagi mengawal selia pertubuhan belia yang lebih bersepadu dan berkesan selaras dengan kelulusan Akta Pembangunan Belia 2007," katanya.

Khairy berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dan majlis berbuka puasa bersama badan bukan kerajaan dan pemimpin belia Sabah di Kompleks Belia dan Sukan, Taman Pasir Putih di sini, malam tadi.

Beliau berkata, menerusi pendaftaran di bawah ROY, pertubuhan belia akan mendapat manfaat lebih baik termasuk mendapat sistem penarafan lima bintang kepada mana-mana persatuan yang aktif dan menyediakan maklumat tahunan, program, struktur dan organisasi yang jelas.

"Ini akan memudahkan KBS membantu dan menyelaraskan peruntukan mengikut program yang dicadangkan sedangkan pendaftaran di bawah ROS, tidak berbuat demikian.

"Ini juga dapat memastikan persatuan di bawah ROY lebih dekat dengan KBS selain menyelaraskan peruntukan dari kedua-dua kementerian negeri mahupun pusat," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan KBS negeri untuk menganjurkan pelbagai program termasuk Hari Belia di peringkat daerah dan negeri sebelum acara kemuncak di Putrajaya.

Menurutnya, kedua-dua kementerian di peringkat pusat dan negeri juga perlu mempelbagaikan aktiviti yang melibatkan penyertaan lebih ramai golongan belia di peringkat akar umbi dalam bidang selain sukan, seperti pidato dan tilawah al-Quran.

Sementara itu, beliau berkata Sabah akan mempunyai padang bola sepak sintetik di Likas dan Sandakan yang kini sedang di peringkat tender Jabatan Kerja Raya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment