My Add

Friday 26 July 2013

PM Jepun akhiri lawatan ke Malaysia

 * DATUK Seri Najib Razak menyaksikan Shinzo Abe bersalaman dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada majlis makan malam bagi meraikan rakan sejawatnya dari Jepun itu di Seri Perdana di sini malam tadi. - Foto BERNAMA
SEPANG, JUMAAT, 26 Julai, 2013: Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe berlepas pulang hari ini selepas menamatkan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.

Pesawat membawa beliau dan anggota rombongan berlepas kira-kira 9 pagi dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini.

Hadir bagi mengucapkan selamat jalan ialah Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin dan Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan.

Semalam, Abe dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu semasa serta bertukar pandangan mengenai hubungan dua hala dan serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Mereka turut membincangkan hala tuju Dasar Pandang ke Timur dengan menumpukan kepada perluasan pembangunan ekonomi sejajar keutamaan kedua-dua negara.

Abe turut diraikan dalam majlis makan malam yang dihoskan Najib di Seri Perdana malam tadi.

Jepun kekal sebagai antara rakan dagang Malaysia terbesar di Asia Timur iaitu yang kedua selepas China dan ketiga di dunia pada 2012, dengan jumlah perdagangan bernilai RM145.32 bilion. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment