My Add

Wednesday 17 July 2013

KHTP tarik 78 syarikat labur RM30.1 bilion

 Mustapa Mohamed
KUALA LUMPUR, SELASA, 16 Julai, 2013: Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) yang beroperasi sejak 1996 di Kedah terus berkembang dan berjaya menarik pelaburan luar dengan baik apabila sebanyak 78 buah syarikat dengan nilai pelaburan RM30.1 bilion direkodkan di situ setakat Mac lalu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pelaburan tersebut berupaya mewujudkan 23,794 peluang pekerjaan.

"Sehingga Mac 2013, dianggarkan pelabur sedia ada telah membuat pelaburan tambahan sebanyak RM7.7 bilion dan tiada penutupan operasi syarikat dilaporkan di KHTP," katanya menjawab soalan Datuk Othman Aziz (BN-Jerlun) dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Mustapa ketika menjawab soalan tambahan Datuk Abd. Aziz Sheikh Fadzir (BN-Kulim Bandar Baru) memberi jaminan kementerian akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri Kedah bagi mencari jalan menggalakkan golongan ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat multinasional di KHTP untuk menetap di Kulim.

Hal ini kerana, katanya, kebanyakan golongan CEO dari kalangan ekspatriat yang bekerja di KHTP kini lebih ramai menetap di Pulau Pinang kerana kemudahan perumahan yang lebih menggalakkan di negeri itu.

Menurutnya, pihak berwajib perlu memikirkan usaha seperti melebarkan jalan serta menyediakan perumahan yang lebih selesa di sekitar Kulim untuk menggalakkan golongan ekspatriat menetap di sana.  - UTUSAN

No comments:

Post a Comment