My Add

Wednesday 17 July 2013

Khuatir umat Islam ambil tindakan sendiri - Musa

PULAU PINANG, RABU, 17 Julai, 2013: Kelewatan pihak berkuasa bertindak tegas terhadap individu yang mempersenda agama Islam menyebabkan rakyat khususnya umat Islam terpaksa mengambil jalan penyelesaian sendiri meskipun menyalahi undang-undang.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, perkara sedemikian amat membimbangkan berikutan kejadian lebih buruk mungkin boleh berlaku yang mampu menggugat perpaduan kaum.

Menurutnya, kes culik dan membogelkan seorang penjaga kaunter kafe siber di Lembah Klang kelmarin merupakan permulaan kepada kebangkitan masyarakat Islam yang terlalu marah dengan perbuatan menghina Islam sejak kebelakangan ini.

"Saya bimbang pada suatu hari nanti rakyat akan menggunakan kuasa mereka dengan mengambil tindakan sendiri.

"Kerajaan perlu tegas, gunakan undang-undang sedia terhadap mereka yang mempersenda Islam," katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Beliau mengulas kejadian pukul 3 pagi kelmarin di mana mangsa terbabit diculik sekumpulan lapan lelaki menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna ketika berada di sebuah restoran bersama teman wanitanya di Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor.

Musa berkata, sekiranya kerajaan masih gagal bertindak tegas terhadap pihak yang menghina Islam, rakyat mungkin akan hilang kepercayaan terhadap undang-undang negara.

"Mereka (rakyat) akan melihat undang-undang sedia ada tidak tegas, tidak perlu dihormati," tegasnya. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment