My Add

Tuesday 9 July 2013

Kilang baharu Nestle beroperasi 2014

 * JOSE Lopez (tengah) melakukan gimik pecah tanah bagi pembukaan kilang Nestle Sri Muda di Shah Alam, semalam, yang turut disertai Alois Hofbauer (kiri) dan Syed Zainor Anwar Jamalullail.
KUALA LUMPUR, ISNIN, 08 Julai, 2013: Nestle Malaysia menjangkakan fasa pertama kilang baharunya di Sri Muda, Shah Alam yang bernilai RM150 juta akan beroperasi pada Mei 2014.

Kilang tersebut akan mengeluarkan pelbagai jenis minuman bagi memenuhi permintaan dalam pasaran yang semakin meningkat.

Ketua Wilayah Nestle Malaysia dan Singapura, Alois Hofbauer berkata, pembinaan kilang itu sejajar dengan pertumbuhan pasaran dalam segmen minuman yang meningkat 10 hingga 15 peratus dari tahun ke tahun.

“Pelaburan pembinaan kilang baharu itu disasarkan untuk meningkatkan jumlah kapasiti pengeluaran 600 juta hidangan minuman sedia diminum berbanding 300 juta hidangan sebelum ini.

“Pertumbuhan pesat bagi minuman cecair ini adalah disebabkan perubahan gaya hidup pengguna yang memilih untuk menikmati minuman sejuk," katanya ketika melancarkan kilang baharunya di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Naib Presiden Eksekutif Nestle, Jose Lopez dan Pengerusi Nestle Malaysia, Tan Sri Syed Zainor Anwar Jamalullail.

Pembinaan kilang baharu itu melibatkan sebahagian daripada perbelanjaan modal syarikat bernilai RM250 juta pada tahun ini.

Katanya lagi, pembinaan kilang tersebut mendorong syarikat untuk memperluaskan operasi dengan mengeluarkan produk minuman baharu.

“Setakat ini, kilang tersebut akan beroperasi dan mengeluarkan minuman seperti Milo, Nescafe, Nestle Omega, Nestle Susu Rendah Lemak dan Nestle Penuh Krim.

“Semua produk tersebut boleh didapati dalam pasaran mulai Jun 2014," katanya.

Jelasnya lagi, ketika ini, jumlah eksport di 50 negara di tujuh buah kilangnya mencecah kira-kira RM1 bilion.

Lopez berkata, kilang yang dilengkapi dengan teknologi canggih itu akan mengoptimumkan kapasiti dan kecekapan.

“Ciri reka bentuk yang mapan seperti kemudahan sistem pemulihan haba dan air hujan akan mengurangkan pengunaan tenaga dan air, sekali gus mencapai matlamat syarikat untuk mengeluarkan makanan dan minuman yang lazat dan berkhasiat, katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment