My Add

Tuesday 9 July 2013

UMNO benteng hadapan negara

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
 * MUHYIDDIN Yassin menyerahkan bantuan untuk cawangan-cawangan UMNO kepada seorang wakil dalam Majlis Perasmian Serentak Persidangan Tahunan UMNO Cawangan-Cawangan, Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar, Pagoh, Johor, semalam. - UTUSAN/ISHAK RAHMAD
PAGOH, ISNIN, 08 Julai, 2013: Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru lebih tiga juta ahli UMNO menjadi benteng paling hadapan menentang mana-mana pihak yang mengganggu-gugat hak dan keistimewaan Melayu serta cubaan menjadikan Malaysia negara republik.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, orang Melayu masih mahukan UMNO bersuara dan lantang mempertahan perkara tersebut yang kini dilihat seperti kurang dijuarai parti itu.

“Sebab itu bila ada orang ancam kedudukan kaum kita, kita tidak boleh diam diri, kita kena bangkit dan bangun menentang mereka. Tidak boleh biarkan mereka begitu sahaja, baik dalam bentuk suara, tindakan atau keberanian kita.

“Kalau ada suara-suara mahu tukar sistem negara ini menjadi sebuah republik, yang pertama akan bangkit menentang ialah seluruh tenaga orang Melayu dalam UMNO, apa lagi hak istimewa hak orang Melayu," katanya.

Beliau berucap merasmikan Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Tahunan UMNO Cawangan-cawangan, Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Sri Pekembar, di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, orang Melayu sedar hanya UMNO terkehadapan dalam berdepan tuntutan dan ancaman mengenai kaum itu dan Islam berbanding pihak lain.

Tegasnya, semua perkara yang disentuh dan diganggu-gugat itu sudah termaktub dalam Perlembagaan dan mempunyai sebab mengapa kedudukan orang Melayu dan bumiputera istimewa dan dikanunkan.

“Ini sudah diterima oleh semua kaum dan keistimewaan Melayu dan bumiputera masih ada dalam Perlembagaan kerana orang Melayu dilihat masih kurang, lemah dan tiada daya upaya ekonomi yang cukup, pendidikan belum sampai peluang yang tinggi," katanya.

Muhyiddin berkata, dalam lawatannya ke beberapa UMNO bahagian selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) terdapat pemimpin parti itu yang lemah semangat dan bimbang kalah dalam pilihan raya umum.

Tegas beliau, perasaan tersebut tidak seharusnya ada kerana UMNO menang sebanyak 89 daripada 133 kerusi yang dipertandingkan sekali gus membuktikan rakyat masih memilih UMNO serta BN untuk menerajui negara.

Dalam masa sama, beliau melahirkan rasa kesal kerana terdapat kira-kira sejuta pengundi Melayu tidak berdaftar dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 berbanding bukan Melayu.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerja-kerja menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang perlu dilakukan dari sekarang kerana keadaan masa kini amat mencabar dan berlainan sama sekali. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment