My Add

Sunday 7 July 2013

Konvoi KQS berlepas ke Singapura hari ini

Oleh IFQDAR RAHMAN

JOHOR BAHRU, AHAD, 07 Julai, 2013: Konvoi Kembara Queen Street (KQS) sempena sambutan ulang tahun ke-75 Utusan Melayu (M) Berhad bertolak ke Singapura hari ini bagi menjejaki sejarah penubuhan akhbar Melayu pertama itu yang bermula di Queen Street, Singapura.

Majlis pelepasan peserta disempurnakan oleh Setiausaha Akhbar Menteri Besar Johor, Mohd. Ainuddin Aliff Salehuden di ruang legar Hotel Puteri Pacific di sini sambil disaksikan Ketua Biro Utusan Johor, Luqman Haziq Abdullah.

Terdahulu, Mohd. Ainuddin Aliff turut menyampaikan salam tahniah daripada Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kepada Kelab Kembara Bermotosikal Utusan Melayu (KKBUM) atas inisiatif menganjurkan konvoi berkenaan.

Konvoi yang melibatkan 28 motosikal berkuasa besar dan empat kereta diiringi 7 pengiring daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu tiba di bandar raya ini tengah hari semalam selepas majlis pelepasannya di Ibu Pejabat Kumpulan Utusan, Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Konvoi yang melalui perjalanan kira-kira 400 kilometer itu memasuki Singapura kira-kira pukul 8.30 pagi ini dan antara programnya adalah menziarahi pusara Pengasas Utusan Melayu, Yusuf Ishak yang juga Presiden pertama Singapura.

Peserta konvoi juga akan berjalan kaki ke lokasi penubuhan syarikat Utusan Melayu di Queen Street untuk mengabdikan kenangan dan mendapatkan maklumat terkini bangunan yang pernah menjadi pejabat pertama syarikat akhbar berkenaan. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment