My Add

Sunday 7 July 2013

Sasar kurangkan kemalangan di tempat kerja

KUCHING, AHAD, 07 Julai, 2013: Kerajaan menetapkan sasaran untuk mengurangkan kadar kemalangan di tempat kerja kepada tiga kes bagi setiap 1,000 pekerja pada 2015 berbanding nisbah 3.31 kes bagi setiap 1,000 pekerja pada tahun lepas, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot.

Beliau berkata, komitmen kerajaan dalam menitikberatkan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja akan meningkatkan imej Malaysia di persada antarabangsa apabila syarikat di dalam dan luar negara yakin dengan keprihatinan kerajaan terhadap aspek perburuhan di negara ini.

"Ini seiring dengan fokus bajet 2013 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk merangsang aktiviti pelaburan di Malaysia, yang dijangka meningkat kepada RM148.4 bilion pada tahun ini," katanya ketika merasmikan majlis sambutan Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2013 peringkat kebangsaan di Tebingan Sungai Kuching di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk K. Selvarajah dan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Datuk Ir. Dr. Johari Basri.

Riot berkata, jumlah kemalangan pekerja semasa perjalanan ke tempat kerja dan kemalangan di tempat kerja yang dilaporkan kepada Perkeso pada tahun lepas adalah sebanyak 61,552 kes berbanding 59,897 kes pada 2011, meningkat sebanyak 2.67 peratus.

Daripada jumlah itu, kemalangan semasa perjalanan ke tempat kerja menunjukkan peningkatan kepada 42.66 peratus tahun lepas daripada 41.42 peratus pada 2011 manakala jumlah kemalangan di tempat kerja menunjukkan penurunan, katanya.

Bagi Sarawak Perkeso mencatatkan sebanyak 333 kes semasa perjalanan ke tempat kerja daripada sejumlah 1,703 kes kemalangan di tempat kerja setakat Mei tahun ini berbanding 937 kes yang sama daripada sejumlah 4,487 kes bagi tahun lepas.

Beliau berkata, Perkeso, sebagai badan kerajaan yang mempelopori Skim Keselamatan Sosial Pekerja di negara ini, akan melancarkan kempen perjalanan selamat ke tempat kerja dengan memberi tumpuan khusus kepada tindakan pencegahan kemalangan semasa ke tempat kerja.

Tindakan itu, katanya, bertepatan dengan misi Perkeso dalam memberi kesedaran keselamatan dan kesihatan pekerjaan kepada majikan dan orang berinsurans, yang juga merupakan matlamat Pertubuhan Buruh Antarabangsa. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment