My Add

Sunday 7 July 2013

Konvoi Utusan ke Queen Street

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
 
 *AHMAD Zahid Hamidi (motosikal hadapan sekali) mendahului konvoi KQS sempena Ulang Tahun ke-75 Utusan Melayu semasa pelepasan yang disempurnakan oleh Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin di pekarangan Ibu Pejabat Kumpulan Utusan di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, semalam. - MINGGUAN/MOHD. NAIM AZIZ
KUALA LUMPUR, SABTU, 06 Julai, 2013: Konvoi Kembara Queen Street (KQS) yang disertai kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad memulakan perjalanan sejauh 400 kilometer ke Queen Street, Singapura bagi menjejaki sejarah penubuhan Utusan Melayu.

Melibatkan sebanyak 28 buah motosikal berkuasa tinggi dan empat buah kenderaan bersama bantuan lapan pengiring daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), KQS merupakan projek sulung anjuran Kelab Kembara Bermotosikal Utusan Melayu (KKBUM) dengan diketuai Penolong Ketua Pengarang l Kumpulan Utusan, Datuk Zaini Hassan.

Dianjurkan sempena ulang tahun ke-75 Utusan Melayu yang disambut 18 Jun lalu, majlis pelepasan konvoi di Ibu Pejabat Utusan Melayu di sini, pada pukul 8 pagi itu disempurnakan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam majlis sama, Ahmad Zahid melancarkan KKBUM dan mengetuai peserta konvoi sehingga ke susur keluar Kajang, Lebuh raya Kuala Lumpur-Seremban bersama sebanyak 100 ahli Persatuan Superbike Malaysia (SAM).

Terdahulu Mohamed Hashim dalam ucapannya berkata, konvoi KQS yang berakhir Isnin ini bukan hanya bertujuan menyemarakkan sambutan ulang tahun ke-75 Utusan Melayu tetapi merapatkan lagi hubungan pembaca dengan produk-produk Kumpulan Utusan khususnya akhbar Utusan Malaysia.

"Beberapa program akan dilaksanakan sepanjang konvoi ini termasuk penyerahan sumbangan kepada bekas kakitangan Utusan Melayu," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment