My Add

Sunday 7 July 2013

Qari Indonesia, qariah Maghribi johan Tilawah Al-Quran

Oleh HUSSAINI AMRAN

 * TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah menyampaikan hadiah Johan Tilawah Al-Quran kepada Dasrizal Marah Naini pada Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-55 di Pusat Dagangan Dunia Putra, malam tadi. Turut hadir Jamil Khir Baharom.
KUALA LUMPUR, SABTU, 06 Julai, 2013: Qari Indonesia, Dasrizal Marah Nainin dan qariah Maghribi, Hajar Boussaq diumumkan sebagai johan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-55 yang berakhir malam ini.

Dasrizal muncul johan qari selepas memperoleh markah sebanyak 93.26 peratus manakala Hajar mendapat markah sebanyak 91.27 peratus.

Johan qari dan qariah itu masing-masing membawa pulang hadiah berupa jongkong emas seberat 350 gram bernilai RM70,000 sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) serta wang tunai berjumlah RM40,000, sijil penyertaan dan piala pusingan.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan mengurniakan hadiah kepada para pemenang dan menyempurnakan majlis penutup tilawah itu yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Yang turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.

Yang hadir sama, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Qari Iran, Mohammad Mashmoul dan qariah Malaysia, Hanimzah Jalaluddin pula masing-masing menduduki tempat kedua bahagian qari dan qariah.

Tempat ketiga bahagian qari pula dimenangi peserta Malaysia, Anuar Hasin manakala bahagian qariah pula dimenangi peserta Thailand, Natipa Manasiya.

Sebanyak 79 peserta terdiri daripada 44 qari dan 35 qariah mewakili 44 buah negara mengambil bahagian dalam majlis tilawah bertemakan 'Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah' itu yang berlangsung sejak 29 Jun lalu. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment