My Add

Friday 26 July 2013

KPDNKK pantau bekalan diesel bersubsidi di Sabah

KOTA KINABALU, JUMAAT, 26 Julai, 2013: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sentiasa memantau bekalan diesel bersubsidi bagi memastikan tidak berlaku kekurangan bekalan bahan itu di setiap stesen minyak di negeri ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid berkata pemantauan penjualan minyak bersubsidi yang ketat juga dilaksanakan supaya ia dinikmati oleh golongan yang layak.

"Krisis kekurangan bekalan diesel yang berlaku sejak kebelakangan ini hanyalah bersifat sementara, yang berpunca daripada masalah penghantaran bekalan dan logistik kepada stesen minyak yang terbabit," katanya kepada pemberita semasa melawat Pasar Besar Kota Kinabalu, di sini, hari ini.

Jainab berkata, lebih 40 stesen minyak beroperasi di sekitar bandar raya ini, dan daripada jumlah itu terdapat beberapa stesen minyak mengalami masalah kekurangan bekalan diesel bersubsidi.

"Bagi mengatasi masalah itu, kementerian sudah dan akan mengambil langkah-langkah yang perlu termasuk mempertimbangkan permohonan tambahan kuota diesel bersubsidi sekiranya terdapat keperluan yang disokong bukti-bukti dan justifikasi bagi menyokong permohonan tersebut," katanya.

Menurut Jainab, kerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasa yang lain dan syarikat minyak perlu memantau dan memastikan bekalan diesel bersubsidi mencukupi dan berterusan.

Katanya, perbezaan harga yang tinggi antara sektor bersubsidi dan sektor industri mendorong berlakunya ketirisan bekalan minyak diesel bersubsidi.
"Ada juga pihak komersial yang membeli minyak dan menjual pada harga yang tinggi menyebabkan berlakunya aktiviti penyeludupan di perairan".

"Peningkatan jumlah penggunaan kereta yang menggunakan minyak diesel juga turut menyumbang kepada masalah ini, di samping masalah penghantaran ke kawasan lain berikutan faktor geografi dan muka bumi," katanya.

Menurut Jainab, masalah kekurangan bekalan diesel bersubsidi ini akan segera diatasi dalam masa terdekat ini bagi kemudahan pengguna menjelangnya musim perayaan ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment