My Add

Saturday 27 July 2013

Lima penuntut UPM harumkan nama negara di Chicago

WASHINGTON, SABTU, 27 Julai, 2013: Sepasukan lima pelajar teknologi makanan Universiti Putra Malaysia (UPM) muncul juara pertandingan teknologi makanan antarabangsa di Chicago minggu lepas.

Anggota pasukan itu terdiri daripada Sew Chang Chew (ketua pasukan), Tan Tai Boon, Mohd Asraf Mohd Zainudin, Kuan Chee Hao dan Najla Gooda Sahib meraih wang tunai US$3,000 (RM9,585.60) sebuah trofi dengan produk mereka "EnerTEIN", makanan tambahan bagi menyuburkan badan pesakit HIV yang kehilangan tenaga dan protein, bagi rantau Asia Tenggara.

Ia adalah kemenangan kali kedua kumpulan ini dalam pertandingan anjuran Institute of Food Technologists (IFT), di mana kali pertama dimenangi tahun lepas, kata Sew kepada Bernama di sini.

Beliau berkata acara di Chicago mempunyai dua pertandingan, satu untuk calon dari Amerika Utara (Amerika dan Kanada) dan satu lagi bagi calon antarabangsa dengan pertandingan antarabangsa ditandingi tiga pasukan, satu dari Malaysia dan dua dari Indonesia.

Beliau berkata pertandingan itu yang diadakan pada 15 Julai merupakan sebahagian daripada ekspo dan persidangan makanan, yang membawa tema keseluruhan “Producing Food Supplement to Help People Living With HIV”, yang menggalakkan peserta menyediakan penyelesaian dalam bentuk makanan berkhasiat bagi mereka yang lemah dan sakit kerana tidak mendapat bekalan makanan mencukupi dalam pengambilan makanan harian mereka.

“Kita buat sesi percambahan fikiran di kalanga pasukan kami dan mengemukakan beberapa pandangan. Bagaimanapun, akhirnya, kami membangunkan sup ikan segera yang dipanggil EnerTEIN, gabungan tenaga dan protein, di mana mereka yang menderita akibat HIV cenderung kekurangannya kerana keadaan kesihatan yang semakin terjejas disebabkan virus dalam sistem (tubuh) mereka.

"Pengambilan makanan harian mereka tidak menyediakan tenaga dan protein mencukupi yang mana produk kami sediakannya sebagai makanan tambahan kepada mereka," katanya. 

Beliau berkata pasukannya memenangi hadiah pertama tahun lepas yang membawa hadiah wang tunai US$3,500 (RM11,183.20) dengan produk ‘Vita-A-Go’, kepingan mangga, perangsang tenaga yang kelihatan dan rasanya seperti gula-gula bergetah kecuali ia mempunyai tekstur mangga.

Sew, 26, yang sedang melanjutkan pengajian iajazah sarjana di UPM mengakui sokongan yang diterima pasukannya dari universiti dan Institut Teknologi Makanan Malaysia.

“Universiti kami, Universiti Putra Malaysia, merupakan penaja utama lawatan kami dan kami juga mendapat sokongan Institut Teknologi Makanan Malaysia," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment