My Add

Thursday 4 July 2013

Lonjakan hartanah di London

Daripada Baharom Mahusin

 * NAJIB (dua, kiri) menyatakan sesuatu dalam taklimat media mengenai Forum Ekonomi Islam (WIEF) Ke-9 di City Hall, London, semalam. Turut hadir (dari kiri) Musa Hitam, Boris Johnson dan Lord Stephen Green. - BERNAMA
LONDON, 03 Julai, 2013: Pembelian hartanah di London oleh para pelabur Malaysia melonjak tinggi sejak akhir-akhir ini dengan kuota untuk rakyat Malaysia bagi apartmen-apartmen di projek pembangunan semula Stesen Janakuasa Battersea di selatan ibu negara United Kingdom ini telah pun habis ditempah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu sidang akhbar bersama Datuk Bandar London, Boris Johnson di sini hari ini bahawa perkembangan itu merupakan petanda baik kepada ekonomi United Kingdom.

“Malaysia akan menjadi pemain besar dalam sektor hartanah di London," kata beliau sambil menambah bahawa Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga sedang mencari projek-projek hartanah untuk dibangunkan.

Najib yang dalam rangka lawatan kerja selama empat hari ke negara ini bersama Johnson; Menteri Negara bagi Perdagangan dan Pelaburan United Kingdom, Lord Green of Hurstpierpoint dan Pengerusi Yayasan WIEF, Tun Musa Hitam sebelum itu memberikan taklimat kepada media British mengenai rancangan untuk menganjurkan Forum Ekonomi Islam Sedunia (WIEF) yang kesembilan di London. Ia dijadualkan diadakan pada 29-31 Oktober depan.

Kerajaan Malaysia dan United Kingdom akan menjadi hos forum tersebut yang bakal melibatkan 1,500 orang peserta dari negara-negara Islam dan bukan Islam. Ia merupakan forum WIEF yang pertama di luar Asia dan di luar negara Islam.

Pada sidang akhbar itu, Datuk Bandar Johnson memberitahu para wartawan bahawa sidang akhbar tersebut diadakan sebelum upacara pecah tanah projek di Battersea esok yang “memperlihatkan peningkatan hubungan dua hala dan hubungan ekonomi antara Malaysia dan United Kingdom".

Konsortium dari Malaysia yang membangunkan Stesen Janakuasa Battersea menjual apartmen dua bilik pada harga sekitar 388,000 pound sterling (RM1.94 juta) manakala untuk penthouse, harganya boleh naik sehingga 6 juta pound sterling (RM30 juta).

Konsortium itu diketuai oleh SP Setia, Sime Darby dan KWSP. Apabila siap nanti, jumlah keseluruhan nilai pembangunan Stesen Janakuasa Battersea ialah 8 bilion pound sterling (RM40 bilion).

Najib pula memberitahu, SP Setia yang telah pun terlibat dengan projek Stesen Janakuasa Battersea tentu sedang mencari projek baharu untuk dilaksanakan di London.

Akhbar The Financial Times di sini melaporkan kelmarin bahawa Malaysia kini merupakan pelabur kedua terbesar dalam sektor hartanah di London selepas Amerika Syarikat.

Akhbar itu menyebut, pasaran bon dan saham-saham yang memberikan pulangan rendah telah menyebabkan banyak pelabur institusi seperti KWSP melabur di seberang laut untuk mendapatkan dividen pelaburan yang lebih besar.

Akhbar itu memetik seorang penganalisis JP Morgan di Malaysia, Steve Clayton berkata: “Mereka ini ada buku cek yang besar di Asia… mereka masih lagi di peringkat awal mencari dan membuat pelaburan rentas sempadan. Tetapi, apabila mereka telah menemui dan membuat pelaburan, pengaruh global mereka tidak diragukan lagi akan meningkat." - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment