My Add

Thursday 4 July 2013

Ruang niaga bumiputera hanya 15 peratus

Oleh FADZIL ZAINOL

KUALA LUMPUR, RABU, 03 Julai, 2013: Ruang niaga yang dimiliki oleh bumiputera di seluruh Lembah Klang hanya pada kadar 15 peratus dan keadaan itu dilihat begitu membimbangkan, menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.

Timbalan Menteri itu berkata, keadaan itu tidak menggambarkan komposisi penduduk Malaysia dan percaya trend itu turut berlaku di mana-mana bandar utama di Malaysia.

Beliau menggesa syarikat-syarikat yang ditubuhkan bagi tujuan menggalakkan perniagaan milik bumiputera harus memainkan peranan dalam menyediakan ruang niaga kepada Bumiputera.

Beliau memberi statistik Uda Holdings Bhd. (Uda), yang hanya mampu menyediakan 677 ruang niaga dari 2001 hingga 2012. Hanya 564 daripadanya dimiliki oleh Bumiputera.

"Kerajaan tidak menetapkan sebarang dasar pemilikan bumiputera dalam perkara ini.

"Tetapi keadaan itu amat tidak baik. Sebaiknya biarlah sekurang-kurangnya paras ini ditingkatkan kepada 30 peratus," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerjanya ke Ibu Pejabat Uda, di sini hari ini.

Beliau menggesa Uda dan semua syarikat berkaitan meningkatkan usaha agar lebih ramai bumiputera mampu memiliki ruang niaga sendiri.

"Diharapkan pusat beli-belah baharu yang bakal dibangunkan Uda seperti Projek Bukit Bintang City Centre (BBCC) di atas tapak lama Penjara Pudu, dan BB Plaza yang bakal dinaik taraf mampu menyediakan ruang niaga yang secukupnya kepada bumiputera," kata Maslan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Uda, Ahmad Abu Bakar berkata, pihaknya telah menghantar pelan konsep BBCC kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan dijangka tempoh mendapat kelulusannya memakan masa sehingga enam bulan.

"Kami menjangka nilai pembangunan kasar BBCC itu mencecah RM3 bilion. Namun ia masih bergantung kepada anggaran rakan kongsi yang masih belum dipilih lagi," katanya.

Ahmad Abu Bakar menjangka pembangunan itu mungkin mengambil tempoh selama 10 tahun, meskipun keluasan tanahnya kira-kira lapan hektar. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment