My Add

Thursday 18 July 2013

Makanan sepanjang Ramadan di NS mencukupi - MB

SEREMBAN, RABU, 17 Julai, 2013: Bekalan bahan makanan seperti ayam, daging dan sayur-sayuran di negeri ini adalah mencukupi untuk sepanjang Ramadan dan sambutan Aidilfitri ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Namun, katanya, terdapat rungutan daripada orang ramai terhadap kenaikan harga sesetengah barangan terutama ayam yang dikatakan dijual pada harga yang agak tinggi.

"Pihak kita dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sedang memantau masalah kenaikan harga ini dan memang wujud di pasar-pasar tertentu di mana harga barangan kawalan dijual tidak mengikut harga ditetapkan.

"Kita juga difahamkan bahawa kementerian telah membuka kouta yang banyak kepada pembekal ayam untuk mengimport ayam dari negara-negara luar," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Beliau berkata, ayam-ayam import itu diharap dapat menstabilkan harga ayam.

Katanya, orang ramai perlu bersabar dengan situasi semasa berkaitan kenaikan harga ayam dan perlu bijak membuat pilihan semasa berbelanja.

Harga ayam di beberapa pasar di negeri ini dijual pada harga antara RM8.50 hingga ke RM8.90 sekilogram. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment